Monday, December 28, 2009

Cerita tanpa illustrasi...

Menerusi jendela kayu yang terbuka luas menghadap halaman rumah itu, dia dapat melihat kesibukan keluarga suami yang baru menikahinya, mengemas saki baki jamuan walimatul-urus mereka berdua.

Dia kini sendirian di temani seorang nenek saudara yang kini sedang berbual-bual dengan keluarga suaminya. Ahli keluarga terdekat lain yang turut mengiringi rombongan pengantin telah lama pulang ke kampungnya. Ibu dan ayahnya hanya mengiringnya dengan doa.

Dia tahu ayah dan ibunya cuba sedaya upaya melaksanakan majlis pernikahannya seadanya. Dia tahu betapa ibu dan ayahnya bersedih dengan keputusannya itu. Namun mereka akur dengan kemahuan dia, anak mereka berdua yang telah diwakafkan untuk perjuangan yang satu itu.

Dia teringat peristiwa pagi tadi. Rombongan pengantin perempuan menaiki van yang dipandu sendiri oleh pengantin lelaki. Pengantin lelaki yang hanya berjubah dan berserban serba putih memandu kenderaan ke majlis menjemput menantu dengan diiringi beberapa orang saudara terdekat pengantin perempuan yang memakai jubah dan purdah serba hitam melindungi pakaian songkit pengantin yang dipakai di dalamnya.

Dia dikejutkan oleh kehadiran suaminya yang kini berada disisinya.

"itu abang saya yang sulong...." ramah si suami mula mengenalkan dia kepada ipar duainya yang tak pernah dikenalinya. Dia memang tidak pernah ambil tahu mengenai latarbelakang suaminya itu. Dan dia memang tidak pernah peduli. Malah dia tidak pernah berinteraksi dengan suaminya semasa mereka bertunang apatah lagi untuk mendalami latarbelakang tunangannya ketika itu. Hanya yang dia pasti mereka berdua sama-sama berjuang di pusat tarbiyah itu mendidik anak-anak di Madrasah itu. Perjuangan yang memerlukan kesabaran dan ketabahan.

Dia dipimpin oleh suaminya untuk bertemu dengan mertuanya..kini baru dia sedar rupanya dia mempunyai seorang nenek mertua, bapa mertua, ibu mertua tiri dan tujuh orang ipar lelaki dan 2 orang ipar perempuan. Begitu besar sekali keluarga mertua yang baru dikenalinya itu.

Bermulalah episod baru dalam hidupnya sebagai seorang isteri. Mengenali suami yang tidak pernah dikenalinya selain daripada kegigihannya membentuk anak-anak di madrasah.

Lafaz akad nikah telah mencetuskan perkenalan mereka. Lafaz akad nikah itu telah memeteraikan hubungan komunikasi antara mereka berdua. Lafaz akad nikah itu telah mendekatkan dua insan yang tidak pernah saling berinteraksi selain daripada lafaz salam yang didengari dari sebalik tabir.

Hanya selepas lafaz akad nikah itu jugalah, wajahnya yang selalunya dilindungi purdah itu dapat dilihat oleh suaminya.

Dari jendela itu dia melihat kedamaian suasana desa kelahiran suaminya itu.

Mentari telah melabuhkan tirai. Merah lembayung senja di kaki langit. Sebelum daun jendela dirapatkan, dia berdoa dan mengharap agar pentas kehidupan seterusnya menjanjikan kebahagiaan dan keberkatan untuk dikongsi bersama suaminya.

Dia yakin dengan keputusannya itu. Baginya kehidupannya adalah untuk perjuangan untuk Dia yang satu. Kecintaan pada suaminya adalah atas kecintaannya pada Dia yang satu. Dan dia sangat yakin pada mawaddah wa rahmah kurniaan Allah pada hambanya...

Monday, December 21, 2009

CERITA SEORANG GURU...

Ditatapnya kad jemputan itu berkali-kali...nama pengantin lelaki itu seperti dikenalnya...dia hampir pasti...pengantin itu bekas muridnya...sebagai guru...nama pelajar memang jadi mainan lidahnya...dan tajam diingatannya...dia tak kan lupa...lebih-lebih lagi jika buku latihan pelajar itu sering dirujuk untuk dijadikan sampel bila dia menanda latihan...

diluar hujan renyai2....mereka baru saja kembali daripada menghadiri sebuah majlis walimatul urus sahabat sekerja suaminya...ah...biarlah suami ku sahaja yang keluar....

"bang..saya tunggu dalam kereta sahaja lah" perlahan dia mencadangkan pada suaminya..
"abang pergi jenguk sahaja.." balas suaminya mengiakan permintaannya itu.
"kalau ada gula-gula ambik lah" pesannya kepada suami sewaktu suaminya membuka pintu kereta...

Dia membuka siaran radio kegemarannya..seperti biasa lagu dari siaran sinar berkumandang..tapi hari ini tiada lagu nostalgia untuknya...hanya lagu-lagu yang mendesing di telinganya...lagu itu tidak dapat menarik perhatiannya..

Sepasang anak muda muncul dari celah-celah kereta para tamu yang memarkir kereta disitu..anak muda itu sangat dikenalinya...Sah..bisik dia dalam hati...diikuti di belakang anak muda itu adalah sekumpulan anak-anak muda yang dulu pernah menjadi pelajarnya...

"cikgu..." sapa anak muda itu...
"majlis kenduri Yasir ke?" tanya dia minta kepastian.
"haah lah cikgu...majlis Yasir ni" balas anak muda itu
Dia teringat Muzil abang kepada Yasir yang semuanya adalah bekas muridnya...

Wajah-wajah bekas muridnya kelihatan dimindanya....
Kini beberapa orang daripada nya sedang mengerumuninya...

Solehin telah bernikah dengan Hakimah...rakan sebaya...kedua2nya adalah bekas muridnya...Dia merasa ketuaan dirinya...Solehin akan menimang anak tak lama lagi..bermakna dia akan mendapat cucu...yang dah ntah ke berapa...berdasarkan tinjauan rambang terhadap bekas-bekas pelajarnya yang telah berkahwin dan berkeluarga...

Apakah dia telah menjadi guru yang baik terhadap mereka semua?...apa pun mereka kini bahagia...berguna kepada masyarakat ...paling tidak berguna pada diri sendiri...

diluar kesedaran ....mereka lah sumber inspirasi dia...kecekalan solehin...ketegasan hakimah...sentiasa dalam kenangan dia sebagai guru...

Detik hari ini dia mengimbas suka duka seorang guru...jauh dilubuk hati ..jangan ada yang menyesali kerana pernah berguru dengan dia...

Tuesday, December 15, 2009

sahabat seperjuangan...


Zulaipah Md Shah ...(dan Sham...kedua2nya bekas pelajar SMK Sultan Sulaiman, Terengganu)


Siapakah yang dapat melupakan rakan-rakan yang bersama-sama kita sewaktu tiada sesiapa di sisi kita...merekalah teman kala kesepian, teman tertawa apabila gembira, teman menangis apabila bersedih...

siapakah yang dapat melupakan rakan-rakan seperjuangan...
seawal 18 tahun kami semua telah merantau di negara orang..
demi mengisi ilmu di dada..
bersama-sama rakan semasa di apartment 1208, Kipling Ontario
Bergambar bersama-sama senior Kak Marshita Othman yang akan bercuti di Malaysia...
juga rakan-rakan apartment 1308...Kak Jam, zainab, Zubaidah
dan rakan-rakan serumah...Zu (zulaipah) dan Sham (shamsiah)
Posted by Picasa

Wednesday, December 9, 2009

SUARA DISEBALIK TABIR...


Bangunan kayu itu kini telah tiada lagi...
tinggal kosong tak berpenghuni...
tiada lagi anak-anak gadis berpurdah hitam pengongsi kamar buat mengisi ilmu memenuhkan dada..
tiada lagi wajah berseri anak-anak remaja berjubah putih menagih ilmu daripada sang guru yang putih hati..

Bangunan usang yang pernah menampung kehidupan anak-anak itu....
dalam kedhaifan memancarkan kekuatan ....
tak pernah mengimpikan kemewahan...yang ada disyukuri...redha ilahi dihajati...

Bangunan kayu kini tiada lagi...
untuk menceritakan erti pengorbanan dan keikhlasan...
penghuni kamar ilmu...

Namun.....dalam sorotan diari ini..
pernah mengongsi kamar ilmu itu...
di bawah sorotan cahaya perjuangan yang semakin pudar...
sayup-sayup dari kejauhan itu
mengingatkan diri ini bahawa...
perjuangan itu belum berakhir lagi...

Kuala Sg Baru...1990
Posted by Picasa

Sunday, November 29, 2009

SUATU MASA DULU....TAHUN 1994

















Suatu masa dulu....
suatu kehidupan yang terasing..
seorang insan menemukan kekuatan..

bagai si pengembara...
sekadar singgah mencari bekalan...
entah esok lusa...
sampai ia ke penghujung jalan..

hanya dengan tabir itu...
terasing ia di dunia itu...
kini
mengingat ia pada saat-saat lalu itu..
mengutip kekuatan yang berbaki...

hanya dengan tabir itu...
bukan juga pagar besi...
kukuh memagari diri kerdil itu..
kembara nya belum berakhir lagi...

kuala sg baru, 1994
Posted by Picasa

Thursday, November 26, 2009

BILA HATI MULA TERKENANG...

Hari ini hari raya aidil adhah...kali ke 46 umi rayakannya...dalam kehidupan umi...mungkin 45 kot kalau umi lahir selepas hari raya aidil adhah...

Macam-macam tahap hari raya aidil adhah yang telah umi lalui...

sewaktu kecil bersama keluarga di kampung....masak2, makan, menunggu agihan daging korban...dan kemudian berhari-hari kami menghabiskan daging korban....

sewaktu remaja bersama rakan-rakan( dalam gambar tu...masa jadi student di Kanada dulu)...kami kumpul ramai-ramai...solat raya bersama-sama..kemudian kami masak-masak, barbeque ke...atau apa saja..ikut suka hati...saling bermesra-mesraan...macam sebuah keluarga besar.

Semasa dah berkeluarga...ketika mengajar di sebuah sekolah pondok di Melaka...sambutan hari qurban umi sambut bersama-sama pelajar-pelajar madrasah...setiap tahun ada yang ber'korban' untuk pelajar-pelajar madrasah...kami tak pernah beraya di kampung halaman masa tu...

semasa mengerjakan haji di Mekah ketika telah punya anak sorang...semangat ummat Islam...bersama2 lautan manusia ...melaongkan takbir....demonstrasi kekuatan ummat Islam...disitu semangat aidil adhah...demonstrasi ummat Islam menentang kezaliman dan kekufuran...

Semasa berkeluarga dan tinggal di kampung....tanggungjawab umi ...memeriahkan sambutan untuk anak-anak..mengajar anak menghargai hari kebesaran dalam Islam...

Hari ini...setelah punya anak lapan, mengajar di sebuah pusat pengajian tinggi...menyambut aidil adhah...dalam kesibukan....adakah aku sudah mula alpa...pada tanggungjawab.....???? tanggungjawab hakiki....'beribadah kepada Dia' yang empunya segala kepujian...empunya segala kebesaran...ampun kan daku...insan mu yang kerdil ini...
Posted by Picasa

Sunday, November 22, 2009

PERGI TAK KEMBALI....



Sebenarnya ummi tidaklah termasuk dalam kategori pencinta kucing...tak pernah terlintas pun untuk memelihara kucing dirumah umi..

Ceritanya bermula apabila suatu hari 4 ekor kucing dilahirkan dalam drawer kabinet dapur umi..Sebaik membuka drawer tempat umi menyimpan sudu dan garpu, terjenguk 4 pasang mata anak kucing yang baru lahir memandang ummi. Sejak daripada itu, umi memelihara kucing-kucing tersebut kerana dipaksa oleh anak bongsu ummi.

Demi melayan karenah anak-anak, RBB membelikan sangkar besar untuk meletakkan anak-anak kucing tersebut, supaya tidak terlanggar setiap kali kami mengeluarkan kereta daripada porchnya. Bermula daripada situ, 4 ekor kucing itu telah menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Daripada kucing-kucing mentah membesarlah adik beradik kucing itu menjadi kucing dewasa. Namun tidak pulak dia mendatangkan masalah kepada kami kerana setiap kali membuang najisnya , kucing-kucing itu akan keluar ke halaman kami yang luas.

Tetapi hari ini sebaik umi selesai memasak di dapur (aktiviti yang jarang-jarang umi lakukan apabila umi bekerja) umi dapati salah seekor daripada kucing-kucing itu telah terbaring di sisi katil bilik tidur umi. Badannya basah dan masih panas lagi bila umi cuba mengalihkannya..

James (panggilan untuk kucing itu) tidak bergerak pun bila umi cuba mengejutkannya..Memang sah james telah tiada lagi..Sebak rasanya melihat dia yang telah kami pelihara sedari kecil tiba-tiba tidak bergerak lagi...hilang sudah sesuatu yang telah menjadi sebahagian daripada kami.. Umi amat terasa kehilangannya...

Buat James...pemergianmu kutangisi...kedatangan mu mengajar ummi erti kasih sayang daripada seorang insan seperti ummi kepada seekor haiwan seperti dia...Kasih sayang yang dibekalkan oleh Dia pencipta kita...
Posted by Picasa

KUCINGKU SAYANG


Hari ini kucing ku pergi untuk selamanya...tanpa sebarang petanda...James pergi untuk selamanya..Bersemadilah dikau di sana...mungkin itu lebih baik buat mu...
Posted by Picasa

Friday, November 13, 2009

20 YEARS TOO LATE...

Umi baru sampai ke rumah bersama RBB....sementara menunggu RBB menggunakan bilik air.Umi membuka laptop sekadar memenuhkan masa...sebaik umi buka emel...ada emel baru yang umi terima ...daripada Program Bright Sparks anjuran university malaya...ringkasnya umi dipilih untuk menyertai program tersebut dengan beberapa syarat...pertama usia tidak melebihi 40 tahun...

so sekadar untuk memenuhi curiosity...umi baca isi kandungan program..lebih kurangnya beginilah...UM sedang mencari insan-insan yang berkebolehan dalam bidang penyelidikan , mempunyai latarbelakang akademik yang cemerlang...untuk menyertai UM mempertingkatkan kualiti penyelidikan UM ...untuk mengekalkan kecemerlangan UM sebagai antara universiti terkemuka di dunia...

insentifnya...bekerja dengan UM...mendapat pembiayaan yuran pengajian jika belajar di UM dan lain-lain lagi kemudahan...Memang memberansangkan..only if tawaran itu...20 tahun lebih awal..

No.... I will only be doing research as I feel like doing it...no more pressure...dengan keupayaan yang sudah semakin terhad....umi tak mampu lagi untuk mencapai tahap yang dikehendaki oleh UM itu..

emel umi forwardkan pada Dr Zakiah untuk minta 2nd opinion...

So....that's it...thanx but I am too old for this...even the borang will say so....

apa pun UM terima kasih...kerana setelah berada di usia ini dan di kala umi sedang menyiapkan thesis umi...diiktiraf sebagai seorang yang berkelayakan dan diperlukan...itu suatu peneguhan positif....seperti kata Pavlov...dan dipersetujui juga oleh Maslow dan rakannya Carl Roger...

that will get me as high as the top of Maslow's hieraki...

Yes.... thanxs sir...

Saturday, November 7, 2009

wani...oh ...wani...


selamat hari jadi wani...moga jadi anak yang solehah...Ummi sentiasa menyayangimu...

AKHIRNYA....


Ini gambar antik umi masa student dulu dilibrari universiti...
Masa tu...kepala fresh aje...belajar apa pun senang masuk...
sekarang...dah tua...letih nya bila buat assignment....

So bila Dr Yusof kata boleh hantar konsep paper esok...dalam arti kata lain ...date due di postponekan..maka umi pun bertungkus lumuslah menyiapkan kertas konsep untuk dihantar kepada urusetia EDUPRES2009. So selepas kelas tamat pada pukul 12.30 tengahari..umi bergegas drive pulang ke rumah. selepas solat umi mula menghadap laptop umi. Dikelilingi oleh file2 dan bahan-bahan rujukan umi meneruskan usaha untuk menyiapkan kertas konsep tersebut.

Akhirnya...pukul 11.30 malam ...kertas konsep umi emelkan kepada penyelia dan dr yusof..

Selepas tidur beberapa jam untuk merihatkan diri...umi bangun bersolat dan menyambung semula usaha pemurniaan bahan terutamanya bahagian bibliografinya...sarat...sesak...pening...headache..begitulah yang umi alami untuk menyiapkan kertas konsep tersebut..

akhirnya pukul 7.00 pagi...umi emelkan semula kertas konsep yang telah dimurnikan..

begitulah akhirnya...usaha umi untuk 2 semester...pencarian literatur...penulisan awal....telah umi rumuskan dalam sebuah pembentangan...

selepas ini ...nak kena pikir pulak macamana nak present....powerpointnya kena dalam bahasa inggeris pulak tu...

anyway...I am happy walaupun keletihan dan tak cukup tidur...
Posted by Picasa

Tuesday, November 3, 2009

GAMBAR-GAMBAR ANTIK KOLEKSI UMMI.


dulu lepas tamat belajar , kami tak hadiri majlis konvo nya. cuma pergi pinjam baju dan berposing kat sana sini...lepas tu pulangkan baju nya...dan chow balik Malaysia. Lagipun majlis konvo kat universiti tu pun tak ada besar-besaran macam kat Malaysia. macam majlis konvo budak-budak tadika aje...

segan-segan pun berposing gak....masa ni dah autumn ...daun pokok pun dah mula gugur. Gambar ni dah berusia at least 25 tahun...

merakam suasana winter depan universiti...rasanya bangunan ni masih ada lagi di U of Guelph. Selalunya bangunan antik ni jadi bangunan yang disimpan untuk kenangan dan tanda keunikan sesebuah universiti. Tapi manusia bila dah berusia....ada ke orang nak simpan?

masa ni dah spring....tunggu bas pun boleh berposing....
orang dulu-dulu ambik gambar skema aje...nak ambil gambar...tapi malu-malu...kelakar...

gambar-gambar ni semua dah berusia 25 years or more....
Kata RBB bila kita mula melihat gambar antik ...maknanya kita pun dah antik...maknanya kami dah antik lah sebab tu dah mula cari kenangan yang antik ini...

Bila dah sampai tahap usia emas ni...kadang-kadang teringat kenangan semasa remaja dulu....
Posted by Picasa

Monday, November 2, 2009

27 TAHUN YANG LALU...

gambar ini adalah gambar lama yang baru umi scan sebenarnya..Masa di Toronto dulu umi tak ada kamera...so tak banyak gambar yang umi simpan...kecuali atas ehsan kawan-kawan. (sebenarnya banyak gambar umi perolehi dari Salmi Mohd Salleh) kawan umi yang kini mengajar di SMK Terendak.

Gambar ini diambil sekitar tahun 1982..Rasanya ini merupakan raya kedua kami di Kanada...Kami semua berhimpun di Park berhampiran sekolah dan bersembahyang raya di situ.

Moga kawan-kawan umi semua dilindungi Allah dan diberikan taufik dan hidayah sehingga ke ahir hayat...Amien..
Posted by Picasa

24 YEARS AGO...



kira-kira 24 tahun yang lalu telah berkumpul sekumpulan pelajar yang menuntut di sebuah universiti yang berada di sebuah bandar kecil bernama Guelph, berhampiran dengan bandar Toronto. Ketika itu mereka semua menyambut sambutan hari kebesaran dalam Islam. Oleh kerana mereka berada nun jauh di perantauan maka berhimpunlah mereka di sebuah park dengan memakai pakaian kebangsaan mereka masing-masing. Saat-saat bahagia mereka itu (walaupun jauh daripada keluarga di Malaysia) dirakamkan dalam kamera. Dan kini setelah hampir 24 tahun berlalu dirakamkan dalam blog ini dengan harapan semoga mereka ini dapat dipertemukan semula di Malaysia setelah sekian lama terpisah dengan haluan kehidupan masing-masing di merata pelusuk negara.

To all my friends....terima kasih kerana mengongsi kenangan ini...
Posted by Picasa

Saturday, October 31, 2009

SEMOGA BAHAGIA...


gambar terkini bersama anak-anak di hari raya 2009....
(bukannya senang nak kumpulkan semua...hajat hati nak pakai sedondon..tapi akhirnya apa-apa lah)
Posted by Picasa

Friday, October 30, 2009

SEMANGAT SI IBU INI...

So finally I presented my new proposal topics to Dr Rahim....
It does not need an hour for him to reject my proposal...
so finally I am on the old track....proceeding with my old topics..

tapi tak tahulah ....agaknya Dr Rahim dah bacakan doa apa agaknya..
tetiba aje umi rasa bersemangat dengan tajuk lama umi tu...

so first thing umi buat adalah membuka internet...
membetulkan bab 1 dan 2 dengan beberapa correction atas saranan dr rahim...
lepas tu...umi focus pada model pengajaran...dan alhamdulillah...umi dah boleh nampak 3 model yang umi nak fokuskan dalam kajian umi tu...

Model transactional...model transmissive....dan model transformative...
atau dalam teori yang anak-anak murid umi dah biasa kenal...
model behavioral...model information ...dan model social-humanis...(senangkan)

mulai hari tu...umi dah kembali bertenaga (I mean my mind...jadi active semula)

bila umi buka folder yang tersusun atas study table umi...rupa-rupanya ada banyak bahan dah umi download dan print...sangat related...cuma umi tak buat summary dan congest kan dia dalam penulisan umi...

cuma hari ini....bila dapat phone call daripada kak yani menyatakan ...
ada offer untuk membentangkan conceptual paper di UTM pada 18 Nov...ini bagi sesiapa yang berminat...

hmmmph...kesuspenan umi semakin bertambah lah pulak...berminat memanglah tersangat berminat...
tapi masalahnya.....

AM I READY????

tapi apa pun ...bentang memang kena bentang..paling tidak pun 28 Nov ni memang kami kena bentang depan external penyelia (from UTM faculty of education tapinya...) stil external to me lah...

well.....yang penting I am on the track....
semoga berjaya (doa umi untuk diri sendiri)

thank u pada anak-anak yang balik bercuti kat rumah ni dan membantu umi dia..
dapur telah umi swastakan pada anakanda abu zar...(dengan penuh kasih sayang)
mengemas rumah buat anakanada siti hajar (dengan penuh kerelaan)
Membasuh, melipat dan mensterika baju kepada anakanda umu aiman dan mashita...
menjaga kucing-kucing comel kami kepada anakanda wani dan najihah...

Okay lah kan...umi ada ramai anak...sesekali mereka ni berbakti pada umi terutama dalam saat mendesak macam ni kan orait tu...

Oh lupa thank u to my beloved husband ...yang sentiasa memberi sokongan moral...

Wednesday, October 28, 2009

DIARI HARI INI...

Pukul 8 pagi bersama-sama dengan anak-anak PISMP PL...
seronok berbincang....sesekali mengusik anak-anak murid ni memang best...
ceria sikit hidup umi yang dah huru hara kebelakangan ni...

Menghadap folio student sampai lupa ada kelas dengan KPLI BK...
bila masuk kelas....usik lagi budak-budak ni...
memang ceria hidup umi yang memang dah sah kecelaruan ni...

lepas tu...usik kawan-kawan dalam ofis...
atau diusik oleh kawan-kawan...

kalau dah tak boleh usik...kawan-kawan pun suffer....

petanda ke'stresan' tahap maksima lah tu...

dah gitulah gaya nya cikgu-cikgu atau bekas-bekas cikgu-cikgu ni...

mana kami ada bilik persendirian...sokmo berkongsi bilik 'staff room'...

jadi dah tak tahu macamana kerja sorang-sorang...
bila dah ramai-ramai...apa lagi...usik mengusik ...macam anak murid dia jugak kelakuannya...

walau apa pun....

sebenarnya dalam minda umi ni...
sentiasa mengarang...
bab 1 dan bab 2...yang akan dibentangkan pertengahan bulan depan...

sentiasa dalam keadaan mengarang...

ini lah yang dikatakan...Phd...(permanent hair damage)....

Sunday, October 25, 2009

SEMESTER 2 ...BARU NAK HANTAR DRAF KAJIAN...

Alhamdulillah,

akhirnya dengan tekad yang tinggi ummi emelkan draf kajian untuk dibincangkan dengan supervisor umi.....

sori lah doc....itulah hasilnya pencarian literature saya....menamatkan tajuk awalan...dan penemuan tajuk yang lebih memberansangkan bahan literaturenya...

nak buat macamana...jangan doc tak setuju sudah...

esok malam nak jumpa Dr Rahim dekat Hotel Orchid....(kata dak gie...kocik bonar ...hotel tu)

okay...anakanda guru pelatih KPLI....kalau jadi tajuk kajian tu...rasa2nya koranglah bakal jadi sampel kajian...

saya nak kaji...samada guru permulaan di sekolah rendah mengamalkan teori yang mereka pelajari di sekolah...

so silalah kumpulkan emel you all...so saya boleh contact korang nanti bila dah posting...

(masalah gak ni...korang nanti kat serawak kan...batch KPLI yang saya ajar dulu pun majoriti posting kat serawak..dah lah tu jauh kat pedalaman pulak tu....)

Monday, October 19, 2009

PERGI SUDAH BULAN SYAWAL 2009

Syawal yang pergi meninggalkan seribu kenangan buat ummi...
pengalaman paling indah bila dapat bersama anak-anak meraikan hari raya bersama-sama
(teringat pesanan ustazah salbiah...tapi masih nak meraikan raya secara songsang jugak)

Bila dapat bertemu sanak saudara...masih lagi ada peluang untuk meraikan hari raya bersama keluarga terdekat...

kembali membilang hari sekali lagi....

penulisan thesis ku masih di tahap minimal....

macamana ni?????

harap-harap pertemuan dengan bekas penyelia di UM dapat membantu...

paling tidak memberikan pandangan pakarnya....

Bila ummi uploadkan gambar student yang datang ke rumah umi untuk merakam kan saat-saat keceriaan...sorilah ya...terutamanya KPLI BK...umi tak bermaksud sama sekali...agaknya coretan umi mengecilkan hati u all semua...

sorilah yang....tak bermaksud...sekadar mengusik aje..tak boleh ke.....

Sunday, October 18, 2009

LAGI SEKITAR MAJLIS 10 OKTOBER, 2009


Yang paling ceria..group KPLI BK ni....memang meriah....

walaupun letih baru balik BIG...masih ceria berkunjung ke majlis umi. terima kasih...anak-anak semua...

Yang paling bersopan santun bak gadis melayu terakhir...adalah kumpulan PISMP MATEMATIK kohot 3 ni...walaupun umi dah tak ajar mereka semester ini..tapi masih sudi berkunjung ke rumah umi...walaupun jemputan lambat di sampaikan kepada mereka...mereka masih sempat datang ke rumah umi...terima kasih bebanyak pada anak-anak yang dikasihi...moga kita berjumpa dalam subjek lain pula nanti....Umi seronok mengajar mereka semua ni...
Posted by Picasa

SEKITAR MAJLIS 10 OKTOBER, 2009


Ini adalah group pertama yang sampai ke rumah umi bersama dengan pakcik dan ayahanda mereka...Pukul 12.00 tgh lagi mereka dah sampai...hidangan pun belum siap hidang lagi...

kumpulan PISMP Sn Kohot 1...dah tak ajar mereka lagi semester ini..tapi mereka masih sudi menjenguk umi di teratak kami di Kg Parit Gantung....ala-ala gadis melayu terakhir gitu...

pasal berposing tu...memang kasikan kat mereka ni...farah, dayah, najla ..akma..antara nama yang umi masih ingat...

sapa lah yang umi nak pilih jadi menantu ni??? semua sweet2 jerk ni...
Posted by Picasa

BERSAMA ANAK-ANAK PISMP PL



Sebenarnya umi sedang mencuba untuk menguploadkan gambar menggunakan PICASA...pakai yang lain-lain tak boleh...so group yang lain-lain tu nanti dulu ...umi sedang cuba menguploadkan gambar ke dalam blog ini...
Posted by Picasa

Thursday, October 15, 2009

MY OPEN HOUSE...

Bila ada ramai kengkawan tanya bila nak buat open house...I feel obligated to their wish...
Bila ada student yang tanya...cikgu tak nak buat open house ke??? Umi rasa serba salah pulak lah...
Bila umi sebut aje pada RBB jom kita buat open house pada 11th of October...dia terus bersetuju..becoz I know dia tunggu ummi buka mulut aje....

Bila lecturer umi kata kelas kena tunda ke tarikh 11th Oktober...umi tutup mulut sebab terkejut..tarikh dah pilih ...dah war war pun pada kekawan sume...tiba-tiba tak jadi plak lah ni..
Bila ada member beri information pada lecturer yang umi plan nak buat open house...Lah tersebarlah plak pada semua rakan sekelas umi tu....

Akhirnya pada tanggal 10 hb ...berlangsunglah open house umi mulai pukul 12.30 tgh...
satu pengajaran yang umi perolehi...

Keinginan student untuk menziarahi rumah umi tu memang pure...maka datanglah mereka memeriahkan majlis tersebut...dengan penuh ceria...

usikan rakan-rakan yang mahukan open house daripada umi tu...tak semestinya menandakan mereka ingin datang...cuma sebahagian sahaja yang mampu datang...so jangan teruja sangat dengan usikan kawan-kawan...

mereka sekadar mengusik..yang tak tabah akan terpedaya...

apa pun...majlis tersebut berjalan lancar...

satu lagi pengajaran yang umi peroleh daripada majlis tersebut...

bahawa rumah umi itu memang cukup luas ...mampu menampung hampir 70 lebih orang pada satu-satu masa . Majlis umi tu tanpa balai..sebab RBB kata kalau open house biar open house betul-betul...biar tetamu dapat masuk rumah...baru open house...

seperkara lagi...jarak dapur ke ruang tamu rumah tu memang cukup jauh...
mampu membuat kaki umi kekejangan selama 2 hari....

seperkara lagi..kalau buat open house...masukkan dalam perancangan 2 hari tambahan untuk memulihkan keadaan rumah kembali kepada asalnya...

Jika tak bersedia dengan perancangan tersebut...tak payahlah nak buat open house...

terima kasih pada Pakjid sekeluarga yang tolong masak2...

terima kasih pada adik Ipar yang tolong mengemas selepas majlis...

terima kasih pada anak murid Mohd Firdaus yang supply tahu bakar nya yang wangi lagi sedap itu......

kepada anak-anak ummi ...yang tak dapat balik waktu majlis diadakan ...sori ye...terpaksa pilih tarikh itu sebab tak ada masa yang lain...sebab dah niat kenalah dijalankan juga...

terima kasih kepada semua yang datang memeriahkan majlis di rumah umi tempoh hari terutama buat pelajar KPLI BK, PISMP PL, PISMP SN dan PISMP MT semester 2...

Wednesday, October 7, 2009

HARI RAYA YANG TANDUS.

I don't know....
hari ni hari raya ke berapa ye?
since naik cuti.....I was so busy to even count the day....

Sedihnya....

sekarang ni masa mengira dateline...

macam-macam date line...

hantar markah KKP student...

menyiapkan dokumen ISO....

hantar kajian tindakan......

dan di pagi hening ini...

menyiapkan draf proposal...

untuk dihantar kepada penyelia thesis umi...

Pagi yang hening ni dah tak bening lagi....

I should be overflow with ideas...but I am not...

in fact....I am dried of ideas.....

or should I say 'ketandusan' ideas......

I think this is the stage that they describe as a sign of 'permanent hair damaged'...

actually ada istilah even worst than that...but I don't want to use it here... its scarry....

yeah...I am surrounded by books and papers.....yet...I can't move on writing...

it just stucked...writing this entry...suddenly...is the best thing I could do..

Sunday, September 27, 2009

EID FITR...2009


Suasana di malam raya di rumah umi sewaktu barbeque...menunya ikan cencaru , ikan pari, udang dan kerang bakar.. (idea anak sedara dari shah alam sebenarnya) .

sekarang ni hanya tinggal mereka ini aje yang masih main bunga api di malam raya di rumah kami. Yang lain-lain dah besar panjang...dah tak main bunga api lagi...

bujang-bujang ni semua dah tak main bunga api lagi...tapi dah boleh tolong bakar ikan kat depan laman umi...
dulu..mereka ni selalu hilangkan diri bila kami berkumpul beramai-ramai..
sekarang ni..mereka dah besar panjang...dah tak lari lagi...lagi pun mereka lah drebar-drebar kami yang bertauliah...


sewaktu keluarga umi beramai-ramai makan-makan kat rumah umi di sg rambai..

dulu...anak-anak gadis ni kecil-kecil so mereka boleh muat dalam satu kereta aje..tapi sekarang semuanya dah besar-besar...tapi masih kena bagi duit raya lagi...

So guys...untungkan ada keluarga besar macam kami ni...

kalau buat kenduri tak payah panggil orang lain..kami pun dah penuh dua balai...

KONVOI HARI RAYA



susah betul nak upload gambar-gambar raya dalam blog umi ni... hai ....akhirnya ..inilah gambar yang dapat menggambarkan suasana kami sekeluarga (5 famili, kaklong, umi, zakiah dan Md Fauzi dan Md Zaki) berkonvoi raya ke rumah saudara terdekat kami.

Masa ni fauziah dan Nor belum sampai lagi. Jumlah nya Kaklong, suami dan 9 anak, umi, suami dan 8 anak, zakiah , suami dan 3 anak, Md Fauzi , isteri dan 4 anak serta Md zaki , isteri dan 4 anak. Meriah kan....38 orang kesemuanya beraya bersama-sama dari rumah ke rumah. Di kampung umi, sedara-mara tinggal berhampiran. Kami boleh keliling kampung dan semuanya adalah sedara mara belaka. Tapi yang dalam gambar ni... kami berkenderaan sebab rumahnya agak jauh sikit...

KENANGAN HARI RAYA 2009 - 2

terlanjur dah diingatkan...sori ye buja (ssin) tak taulah mana datang ssin tu??? agaknya al husaini kot... jangan assasin dah lah...

okay... buat anakanda buja... terima kasih... kekadang jadi drebar umi melengkapkan persiapan di hari raya... pastu... menyapu lantai rumah kita yang luas tu...(umi memang tak larat nak menyapu)...

pastu... mengemas rumah kita yang boleh tahan kebesarannya....

pastu...melengkapkan bilangan keluarga kita bila berjalan-jalan ke rumah sedara tu..

pastu...menjadi technician masa kita ambil gambar sama-sama tu...

pastu...pastu...pastu.....terima kasih...

selamat hari raya...(cuma terkilan..bila lah umi nak rasa dapat jamuan yang disediakan oleh chef terlatih daripada KLMU ni...?????

KENANGAN HARIRAYA 2009

Gembira……itulah ayat yang dapat umi luahkan…

Buat pertama kalinya umi menjadi tuan rumah untuk majlis hari raya sepenuhnya…

Sebelum ini umi membuka rumah di Serkam bersama-sama adik beradik lain di serkam.

Sejak tinggal bersama arwah emak…sudah jadi satu kemestian untuk umi menjadi 'host' kepada majlis sambutan hariraya kami sekeluarga di serkam.

Selepas umi berpindah ke rumah sendiri apabila arwah mak umi meninggal…umi masih lagi bertindak sebagai 'host' di rumah serkam setiap kali hari raya.

Tetapi untuk pertama kalinya tahun ini umi melepaskan tanggungjawab sebagai 'host' itu kepada kakak umi yang sulong.

Sebaik membuka rumah di sg rambai, rumah umi didatangi pengunjung yang terdiri daripada saudara-mara, jiran sekampung dan bekas pelajar umi .

Kemahiran umi memasak pun teruji lah nampaknya tahun ini…. Seronok rasanya…menjadi pengelola majlis di rumah sendiri….walaupun ada juga problem yang muncul…tapi akhirnya umi dapat merasakan kemeriahan hariraya …..

Buat anak-anak umi terima kasih kerana bersama-sama umi menziarahi sanak saudara terdekat…walaupun kami ramai namun mampu jugak kami beraya bersama-sama dengan menaiki dua buah kereta….seronok dapat bersama-sama semua anak-anak berjumpa dengan saudara terhampir di kampong….

Buat anakanda amar…. Terima kasih kerana akur pada jadual yang umi tetapkan walaupun terpaksa mengorbankan game… dan…..bara api nya itu…

Buat anakanda hajar… terima kasih kerana tolong mengemas rumah sempena hari raya…

Buat anakanda eta dan eyeman…terima kasih kerana membantu memasak dan mengemaskan pakaian di rumah.

Buat anakanda ali…. Terimakasih kerana membantu umi mengemas rumah…(perkara yang baik kekalkan…yang buruk elak kan)

Buat anakanda wani dan najihah… terima kasih kerana membantu menceriakan hari raya di rumah kita… terima kasih kerana memahami…

Buat RBB….terima kasih kerana sentiasa bersama saya di waktu senang dan sukar…

Kalian semua di hati umi……SELAMAT HARI RAYA…MAAF ATAS SEGALA KEKURANGAN UMI SEPANJANG MEMBESARKAN KALIAN SEMUA….

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI …2009

Friday, September 18, 2009

SIBUK....

semua anak-anak dah balik...
so today I am a full time house wife...
hasilnya...
bayangkan...
the tenth of us ( 8 anak dan induknya) di meja makan...
berbuka puasa bersama-sama...
seronok rasanya..

tahun ini..
umi dah buat plan...
tahun ni kami nak beraya di kampung RBB...

so kami akan bermarhaban bersama-sama pada raya pertama di Sg Rambai...
then baru ke Serkam..

harap-harap semuanya berjalan lancar..
agar ikatan kekeluargaan kami bertambah erat...

semoga raya kali ini jadi kenangan abadi...

Ramadhan tahun depan...entah ada umur ntah tidak...
Sedih pulak rasanya....

Wednesday, September 9, 2009

BERITA SI HAJAR....

9 hb 9 tahun 2009.

"salam. tahniah. berita aja dah keluar dalam berita harian" demikian sms ringkas umi terima daripada RBB..

masa tu umi dalam sesi pembentangan self review report untuk MQF di Dewan Seri Melur.
umi pun tertanya-tanya gak..apa hal lah plak si hajar ni ada keluar dalam berita . Berita harian plak tu.

"berita apa" SMS daripada RBB umi jawab ringkas.

"tengok berita harian. muka surat 4 edisi Melaka/Negeri Sembilan. Terima kasih" balas RBB.

Sepanjang bengkel selepas itu umi cuba memikirkan apa agaknya berita berkaitan anak kedua umi ni yang telah keluar di berita harian. Biasanya kalau kawan-kawan menyebut bahawa berita tentang RBB keluar kat surat khabar atau tv atau radio...umi dah tak berapa kisah lagi..sebab memang berita RBB memang selalu keluar di dada-dada akhbar...mengalahkan celebrity pulak...tapi bila kisah anak umi keluar dalam berita memang curiosity umi meluap-luap..

On the way ke surau untuk solat zohor ..umi singgah untuk melihat surat di pigeon hole umi. Sementelah ada seorang rakan pensyarah sedang menelaah berita hari itu..umi pun menjenguk jugak kot-kot ada beritanya disitu...

so cari-cari punya cari..nampaklah wajah Hajar sejelas-jelasnya di muka surat yang dinyatakan oleh RBB...memang sah itulah anak kedua umi...

"kami bangga dapat menjayakannya kerana ia turut memberi peluang pelajar UIK mempraktikkan ilmu dan kemahiran kejururawatan" kata Siti Hajar Rahimin, Pengarah program amal di rumah anak yatim, rumahku sayang di taman pancor jaya....

banyak juga informasi yang dirujuk kan daripada temuramah pemberita dengan hajar...

"dah tengok, besar sungguh muka hajar" sms umi kepada RBB untuk memaklumkan bahawa umi telah dapat menjejaki berita mengenai hajar.

"Pengarah program...macam buyah dia je" balas RBB bangga sekali jejak langkahnya yang memang aktif sewaktu di kampus sebagai Timbalan YDP PMUKM di ikuti juga oleh anaknya sendiri.

Umi dapat merasakan kegembiraan RBB sebagai seorang ayah pabila anaknya melakukan sesuatu yang positif dalam kehidupan terutamanya yang melibatkan kemasyarakatan.

Bagi umi yang juga dulu aktif berpersatuan sewaktu di kampus ketika di universiti dulu jika ada anak-anak umi yang ingin melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ko ku.. apa salahnya. Cuma seaktif-aktif umi dalam pertubuhan pelajar di universiti dulu umi mesti pastikan kecemerlangan umi dalam kurikulum tidak terabai...barulah kehidupan kita sebagai pelajar di IPT seimbang.

Apa pun...umi bangga dengan pencapaian hajar dalam kurikulum dan ko kurikulum.. Moga Hajar berjaya muncul sebagai pelajar cemerlang di kolej... terus berusaha...capai setinggi yang mungkin.

terima kasih....kerana memberikan kegembiraan di hati kami....

Thursday, September 3, 2009

TUGASAN PISMP PL MINGGU 12 (8 DAN 9 SEPT)

Berikut adalah tugasan kumpulan untuk diperbentangkan minggu depan.

1. Jelaskan perbezaan antara pendekatan induktif, deduktif dan integratif.
2. apakah dia perbezaan antara pendekatan tematik berbanding eklektif?
3. Bagaimanakah strategi pemusatan guru dapat meningkatkan kefahaman pelajar?
4. Mengapakah strategi pemusatan murid dianggap sebagai strategi yang paling berkesan dalam p&p?
5. Bagaimanakah strategi pemusatan bahan dapat mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran pelajar?

Sila bahagikan tugasan ini kepada kumpulan-kumpulan. Pembentangan adalah dalam bentuk powerpoint (seperti biasa).

Harap bersedia. (Saya akan menghadiri bengkel 7-9 september, tetapi penyelaras memaklumkan bahawa kami lecturer dibenarkan masuk ke kelas bila ada waktu mengajar)

So I will try to enter your class as schedule.

thank u.

Pn Halimatussaadiah Salleh.

Wednesday, September 2, 2009

RAMADHAN BUAT IBU ANAK 8

"umi....nak nasi" laong kakngah dari hujung meja.

Bekas nasi umi capai dan umi sendukkan nasi kedalam pinggan kakngah.

"umi....hulurkan air tu" bersuara pula si uda dari hujung meja.

"eh abang dulu lah" sahut si along pula saling berebutan untuk mendapatkan air sirap sejuk yang memang nampak sangat menyegarkan.

Umi menuang air sirap ke dalam dua gelas dan dihulurkan kepada kedua-dua anak lelaki umi yang seolah-olah terpaku di kerusi masing-masing.

Sejak azan maghrib lagi umi belum pun dapat membasahkan tekak walaupun umi juga turut berpuasa bersama mereka.

"umi....adik pun nak kuih tu" celah kak uteh ditengah-tengah kegamatan anak-anak umi yang sibuk berbuka puasa itu.

Meja yang memuatkan lapan orang itu terpaksa kami tambah dua lagi kerusi supaya dapat memuatkan kami semua yang berjumlah sepuluh orang. Namun sedari tadi umi belum dapat meletakkan punggung ke kerusi itu kerana sibuk memastikan semua anak-anak selesa untuk berbuka puasa.

"saya nak mee lagi" anak lelaki umi yang masih belum berpuasa turut menambahkan kemeriahan berbuka puasa di rumah kami walaupun dia masih belum berpuasa.

"orang belum pun dapat lagi mee tu tau" rajuk kak cik yang juga tidak berpuasa tetapi minta diraikan seperti abang-abang dan kakak-kakak nya yang berpuasa.

"eh...kau bukannya berpuasa" tegur kak lang yang tidak berpuas hati dengan adik-adiknya yang tidak berpuasa tetapi turut minta di layan sama.

"umi....umi...umi..." suara anak bongsu umi dari dalam buaian yang terjaga akibat kebisingan kakak-kakak dan abang-abangnya yang sedang berbuka...

umi mengambil segelas air dan sepinggan mee untuk di makan sambil membuai si bongsu yang telah menyelak kain buaian untuk melihat pesta berbuka puasa di rumah kami.

Akhirnya dapat juga umi berbuka puasa walaupun sebelah tangan lagi membuai si bongsu yang tidak ada tanda-tanda untuk tidur lagi.

Ketika itu si along berumur 12 tahun , angah 11 tahun, uda 10 tahun , K uteh 8 tahun, K lang 7 tahun manakala angkatan yang masih belum berpuasa berumur 4, 2 dan setahun.

Sebagai ibu kepada anak seramai itu, bulan ramadhan adalah bulan melatih anak-anak. Berpuasa bagi anak-anak kecil seolah-olah telah memaksa mereka untuk melakukan suatu kerja berat jadi apabila sampai waktu berbuka si ibulah tempat pergantungan mereka untuk mendapat layanan kelas satu akibat daripada proses yang mereka lalui semasa berpuasa.

Apa pun kini semua anak-anak umi telah dewasa dan sepatutnya telah mengenal hikmah di sebalik ibadah puasa. Bagi umi saat yang umi lalui ketika melatih mereka berpuasa adalah saat yang indah bagi seorang ibu kerana pada ketika itulah umi merasai bagaimana seronoknya dapat melayan semua anak-anak dan dapat umi luahkan kasih sayang umi yang tidak berbelah bahagi kepada mereka semua.

semoga anak-anak umi mengerti bahawa sebagai ibu, umi menyayangi mereka semua kerana merekalah amanah terbesar daripada Allah yang terpikul ke atas umi.

semoga suatu hari nanti apabila umi telah tiada di dunia ini, mereka akan mendoakan kesejahteraan ke atas roh umi dan buyah dan di ampun kan segala dosa yang kami lakukan terutamanya atas segala kealpaan kami dalam mendidik mereka semua untuk menjadi insan yang soleh, insan yang beriman kepada Allah swt.

Sunday, August 30, 2009

RAMADHAN PERTAMA SI ALONG

Hari ni umi nak cerita pengalaman umi melatih si along(bukan nama sebenar, hi hi hi. nanti dia marah) berpuasa...

Along adalah insan pertama yang umi latih berpuasa. Masa umi latih dia berpuasa umur dia 6 tahun. Ketika itu di rumah umi ada anak-anak kecil berusia 5 tahun, 4 tahun, 2 tahun dan setahun. Ertinya rumah kami meriah dengan kanak-kanak yang belum kenal erti ramadhan. Masa tu umi tinggal di sebuah rumah yang ada hanya satu bilik tidur, satu ruang tamu dan sebuah dapur. Ala-ala rumah PPRT yang kerajaan barisan bagi pada fakir miskin itu. Lantai dapurnya pun tidak disimin sempurna. Walaupun rumah itu tidak sesempurna mana (kalau hujan lebat, air akan masuk melalui lubang di dapur) Memang kelakar rumah tu.... tapi kami sekeluarga bahagia disitu. Ketika itu umi belum lagi berkhidmat dengan kerajaan.

So berbalik kepada kisah si along yang berpuasa. Umi ada 3 anak lelaki dan 5 anak perempuan. Sesungguhnya melatih anak lelaki berpuasa adalah amatlah sukar sekali.

"umi sekarang ni pukul berapa?" tanya si Along.
masa tu baru pukul 9.00 pagi.
"berapa jam lagi boleh berbuka" tanya si Along lagi.
"lama lagi" jawab umi

"umi , lama lagi ke nak berbuka ni?" tanya si Along lagi.
"tak lama lagi, sabar lah" balas umi meredakan keresahan Along.
masa tu baru pukul 12 tengahari.

"umi, dah boleh berbuka sekarang ke?" tanya si Along lagi
"belum , tu azan zohor, sabarlah, dah tak lama lagi" sahut umi menyabarkan si Along yang dah terbaring sedari tadi.

"umi , Along nak berbuka, dah tak tahan ni" laong si Along sudah tidak dapat menahan kesabarannya lagi.
"sabarlah, dah tinggal 3 jam sahaja lagi" pujuk umi .

"umi, Along nak berbuka , tak tahan ni" laong si Along, ketika umi sibuk memasak di dapur.
"sabarlah Along, dah tinggal berapa minit je lagi" pujuk umi ketika jam ketika itu menunjukkan pukul 6.30 pm

"umi tak tahan ni" suara siAlong sudah semakin lemah. Dia terbaring di lantai diruang tamu sedari tadi.

"hah...kalau nak sangat berbuka...makanlah...dah buka lah puasa tu" jerkah umi dah tak sabar dengan kerenah si Along...ketika itu sudah pukul 7.00 pm. Namun tak pula si Along membatalkan puasanya.

Bila azan maghrib berbunyi, si Along sudah tertidur...

Puas umi mengejutkannya, dia seperti telah pengsan.

Hampir 30 minit masa berbuka berlalu, barulah si Along turun berbuka. Along minum air panas yang umi sediakan, bakinya dituang terus di lantai di bawah meja. Kemudian dia minta air sejuk pula . Itulah sahaja yang diambilnya untuk berbuka kerana selepas minum 2 gelas air , Along sudah tidak lalu untuk makan apa-apa pun. Maka, berakhirlah puasa Ramadhan pertama dalam hidup Along.

Perasaaan umi ketika melatih Along berpuasa bercampur-campur. Marah ada, kesian pun ada macam-macam. Buat Along, moga ramadhan menjadikan dia insan yang lebih matang, lebih bertanggungjawab kerana tahun-tahun yang dilaluinya sepanjang kehidupan sepatutnya telah menjadikan Along insan yang lebih tunduk kepada Dia Yang Menciptakan Along... kerana sapa lah kita tanpa keImanannya kepada Dia.

Friday, August 28, 2009

PISMP SN KOHORT 1



Girls ...this is the photo that I insert in my presentation.
Sorry...I have to take gambar yang paling skema sekali sesuai dengan majlis yang sangat skema.. dan dihadiri oleh semua orang yang skema2....

Okay lah kan...sesuai dengan gaya...alah-alah stail gadis melayu terakhir...daripada institut perguruan perempuan melayu melaka..yang terakhir...

Thursday, August 27, 2009

PUDU RAYA...

Berjalan kaki bagi seorang insan setua umi ni satu penyiksaan...
so bila my son kata...kita naik LRT...umi cadangkan dia naik teksi.. tapi he insist on naik LRT jugak..
kata dia teksi mahal...
Bagi umi si tua ni... mahal tak apa...asal umi tak payah bersusah payah...jalan kaki...salin transportation and etc...
Tapi my son kata...dekat aje jalan kaki...
So akhirnya umi akur...maka berjalanlah umi...
tapi anak lelaki umi yang baik itu memudahkan urusan umi sebab dia yang mengangkat beg pakaian umi yang besar dan berat itu..
maka berjalanlah umi...mendaki tangga jejantas untuk ke LRT jalan sultan Ismail.
semput jugaklah umi mendaki tangganya...
umi memang tak percaya dengan orang-orang muda ni...
kalau dia kata dekat... tak semestinya dekat bagi situa seperti umi ni...
tapi dapat lah umi merasa bagaimana umi mengikut sahaja anak lelaki umi dengan rela hati...
kalau masa kecik dulu...dia mengekor umi...
tapi bila dia dah dewasa..umi pulak mengekor dia...
umi memang tak tahu jalan-jalan di KL ni..
kalau umi ditinggalkan ditengah-tengah KL sorang diri.. memang umi tak tahu mana nak pergi...
nasib baik sekarang ni ada teknologi Hp....itulah sahaja talian hayat umi...
sebab tu...sekarang ni.. tak bawa duit tak ada masalah sangat...tapi jangan tak bawak hp..
akhirnya sampailah umi ke pudu raya..
now baru umi tahu mengapa dia kata senang ke pudu dengan menaiki LRT..
sebab memang mudah pun...cuma kena jalan sikit aje...
tapi...
keadaan di Pudu raya..memang menyesakkan kepala jemala umi ni...
tak tahulah apa yang berlaku...orangnya tak lah sesak sangat..
tetapi...
orang-orang yang ada di situ...
macam tak boleh dipercayai sangat..menakutkan...macam gangster..ngeri rasanya...
umi duduk di bangku menunggu tak bergerak kemana-mana...
sepanjang umi berjalan menuju ke kaunter tiket.. dikiri kanan jalan.. mak oi..meriah sungguh jualan makanan..
dalam fikiran umi..takkanlah orang nak berpuasa beli juadah berbuka seawal 1 tengahari...
banyak pulak tu makanannya...
kalau nak kata untuk orang bukan Islam...banyak manalah bangsa asing disitu...yang ramainya Melayu sahaja...
akhirnya umi menaiki bas ke Melaka..
dari tingkap bas umi menonton seorang lelaki melayu dengan gelojohnya menghabiskan sisa-sisa rokoknya yang masih berbaki...agaknya untuk menghormati arahan tidak boleh merokok di dalam bas...
kemudian..
umi baru teringat..
apahal pulak mamat tu merokok di tengahari ni..sedangkan hari ini bulan ramadhan..
kalau perempuan mungkin uzur..
tapi dia ni jantan melayu jati...orang asli kot??

Pukul 4.30 umi sampai di Malacca central...MBR 59 telah sedia menunggu dengan setia..
alhamdulillah berakhir satu perjalanan menaiki kenderaan awam bagi umi..
kosnya RM 12 sahaja... campur RM 1.20 tiket LRT.

Berbanding kos menaiki kenderaan sendiri RM 16.50 untuk tol sahaja tidak termasuk kos minyak dan kos tenaga...

So abu zar...memang berbaloi naik LRT dan kemudian ambil bas balik kampung...

Wednesday, August 26, 2009

BERAKHIR SUDAH SEBUAH PEMBENTANGAN...

Pehhhhh leganya.......
Even that exclamation is not enough to describe my satisfaction of having presented my research today....

Umi baru sahaja selesai membentangkan laporan kajian tindakan yang dilaksanakan oleh Dr Tan ke atas group PISMP Sn Kohort 1 IPPM dan dilaporkan oleh umi. Banyaklah pertanyaan, maknanya depa tu peka lah dengan pembentangan umi.

"Puan, bagaimana kah such and such... action... can bring to this.....?" comment Dr Bala..
umi mengangguk2.... tanda setuju ...
"Okay, dr terima kasih atas komen , akan saya buat penambahbaikan" jujur umi menjawab.
" Puan, bagaimana.....such and such...." komen lagi seorang Dr....
"terima kasih atas komen, itu, saya sangat bersetuju" umi menjawab soalan dengan ucapan terimakasih sahaja...
begitulah sesi soal jawab... umi hadapi dengan lagak... pesalah yang akur dengan hukuman...
Macamana umi nak jawab pun... the action was done by another Dr... Umi ni cuma melaporkan aje.....umi hanya mendokumentasikan sahaja....

tamat sesi soal jawab... Pengerusi beri komen knock out pada umi
"Pembentang sepatutnya tidak menerima sahaja komen, atau mengatakan kelemahan itu dan ini, tapi kena pertahankan hujah"

Ha ha ha ... itu pun umi terima juga dengan lapang dada. ....

Urusetia kata... bentang je apa yang ada pada kita...so kalau orang komen...dr2 pulak tu..umi terima ajelah...sebab laporan tu belum final lagi... nak dibaiki based on their komen...

ish...ish...ish...macamana lah urusetia ni... tak faham lah dia orang ni...kata pun bimbingan dan pemantauan..

anyway thanks Najla..for the photos...umi masukkan dalam pembentangan umi




So girls wajah u all tadi dah masuk dalam powerpoint saya tuhhh sebagai bahawa bukti mereka inilah yang telah melaksanakan tugasan membina formasi untuk menjaga sebiji telur dalam kelas murid dan alam belajar 2 tahun yang lalu.

Anyway... umi berpuas hati lah dengan apa yang mampu umi lakukan.. at least umi nanti akan pastikan my viva untuk thesis Phd nanti tidak terjadi seperti pembentangn hari ini.. becoz pada masa itu.. ia nya sepenuhnya kajian umi sendiri...me and myself alone...constructing that thesis..

So hari ni dah 3 hari umi berada di Hotel Grand Continental ini. Selama itu jugaklah umi menjadi penghuni kepada sebuah bilik yang mempunyai sebuah katil queen size dan sebuah lagi single bed. 2 katil untuk umi sorang. Best jugak jadi penghuni single room ini... all by myself..nobody but me...

Part paling best adalah I own this room all to my self...So I keep this room tidy... the way I always like my room to be... even though nobody is to inspect me... I keep the bathroom dry.. as I always like my bathroom to be...sesuatu yang umi pelajari daripada Canadian... they always like their bathroom to be dry.. not a single drop of water... they even put carpet in their bathroom. so I am actually savouring this fine moment of privacy.....

Well tomorow I am going home...by bus.. since RBB is not coming to fetch me...

May tommorow be a perfect day....(seperti dalam lagu Donny Osmond) sebab this will be my first time balik Melaka daripada menghadiri mesyuarat di KL dengan menaiki pengangkutan awam.....best kot??

Tuesday, August 25, 2009

ATTENTION TO MY PISMP PL GROUP!!!!!

Salam kembali kepada anak-anak PISMP PL ,
(especially to zuliana, nomi, netty, amp dan baizura )

Saya dah baca respon u all tu dan saya dapati maklumat yang saya postkan itu telah kurang difahami oleh u all semua.

Saya harap maklumat yang saya paparkan ini dapat mengurangkan ketidakfahaman anda mengenai tugasan ini.

Pertamanya:
esei yang saya anggap baik adalah esei yang mempunyai pendahuluan dan penutup.

Pendahuluan haruslah dapat memberikan gambaran awal mengenai esei yang anda ingin tuliskan. Sebagai contohnya untuk tugasan anda itu, pendahuluan boleh lah serba sedikit menyebut mengenai alam belajar atau konsep pengajaran atau yang sewaktu dengan nya yang telah anda peroleh maklumat mengenainya. Pastikan pendahuluan itu menjurus kepada isi kandungan esei anda iaitu implikasi teori-teori pembelajaran. Pendahuluan sepatutnya ringkas, padat, berfokus dan dapat menarik perhatian pembaca untuk membaca esei anda seterusnya.

Manakala penutup pula harus dapat memberikan rumusan kepada isi esei anda secara keseluruhannya. Penutup yang baik juga harus mempunyai refleksi anda terhadap tajuk yang telah anda perbincangkan secara panjang lebar sebelumnya. dalam artikata lain penutup yang baik dapat merumuskan kesemua yang telah anda perbincangkan.

untuk memudahkan 'flow' of your esei atau untuk memudahkan pembaca mengikuti esei anda , saya mencadangkan anda menggunakan subheading yang sesuai misalnya:

  • pendahuluan
  • Konsep asas teori pembelajaran
  • Implikasi teori terhadap pengajaran dan pembelajaran
  • Penutup
Di atas itu hanyalah cadangan sahaja. Anda boleh menggunakan subheading yang anda rasa lebih sesuai untuk membantu pembaca mengikuti esei anda itu.

Berkaitan dengan isi kandungan esei.

anda mesti menghuraikan serba sedikit mengenai 5 teori yang telah kita bentangkan dalam kelas tempohari. Huraian konsep itu perlu dibuat secara umum sahaja . contohnya walaupun kita ada pelbagai pandangan ahli teori behavioris tetapi anda hanya berikan pandangan mereka secara global tak perlu nak dinyatakan prinsip daripada setiap ahli teori behavioris yang berlainan. Begitu jugalah dengan teori-teori yang lain.

untuk implikasi teori
anda boleh huraikan implikasi teori dalam menghasilkan bilik darjah yang kondusif berdasarkan masalah yang dinyatakan dalam tugasan tersebut.

untuk itu anda boleh merujuk kepada faktor-faktor yang perlu diambil kira untuk menghasilkan bilik darjah yang kondusif iaitu faktor fizikal, faktor psikososial dan faktor pengajaran dan pembelajaran.

anda boleh gunakan faktor ini sebagai subheading dalam esei anda ini di bawah implikasi teori. huraikan bagaimana teori-teori tersebut diaplikasikan untuk menghasilkan fizikal bilik darjah yang kondusif, psikososial yang sesuai untuk bilik darjah yang kondusif dan juga pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Tujuan utama tugasan ini adalah untuk memastikan anda menguasai konsep asas yang dibawa oleh setiap teori dan untuk memastikan anda memahami implikasi teori tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran kerana itulah tujuan utama teori pembelajaran itu kita dipelajari. Dan kemahiran inilah yang saya ingin anda tunjukkan melalui penulisan esei anda itu.

Penulisan esei yang baik ditulis dengan menggunakan gaya bahasa yang mudah , lancar dan menarik untuk di baca. Berbeza dengan karangan peringkat SPM, esei pada tahap ijazah memerlukan anda menulis secara akademik , merujuk kepada bahan rujukan jika perlu dan dinyatakan sumbernya jika ada berdasarkan APA style.

Sebagai panduan di bawah ini adalah anggaran bagi setiap subheading.

Pendahuluan (setengah mukasurat)
konsep asas teori (satu setengah muka surat)
Implikasi (5 ke 6 mukasurat)
Penutup (setengah mukasurat)

Saya harap penerangan tambahan ini dapat membantu anda menyelesaikan tugasan KKP anda itu. Jika terdapat pertentangan dengan taklimat yang diberikan oleh En Anuar ambillah panduan saya ini sebagai arahan yang terkini. (harap anda tidak keliru lagi)

selamat menyiapkan tugasan ini dan tak lupa selamat menjalani ibadah puasa di bulan ramadhan yang mulia ini.

Ummi,

Hotel Grand Continental,
6.00 pm
25 Ogos, 2009

Monday, August 24, 2009

RAMADHAN DI HOTEL..

Sepanjang berkhidmat di IPGM mengunjungi dan menginap di hotel adalah salah satu kemahiran baru yang perlu umi kuasai. Antara lain adalah kemahiran menyiapkan beg dengan segala keperluan yang mencukupi selama tempuh jangkaan umi perlu berada di satu-satu tempat. Selain itu kemahiran berkomunikasi dengan ahli keluarga terutama anak bongsu umi untuk memastikan pemergian umi tersebut mendapat restu daripada mereka semua yang akan ditinggalkan.

Kemahiran itu telah umi kuasai dengan baik cuma sejak akhir-akhir ini atas dasar perbelanjaan berjimat BPG maka umi sudah tidak perlu risau lagi memandangkan kekerapan menghadiri program di luar IPG telah dikurangkan.

Ketenangan umi daripada gangguan-gangguan arahan untuk menghadiri program IPG di luar kawasan tidak lama kerana kali ini umi menerima arahan untuk menghadiri mesyuarat di Hotel Grand Continental di KL. Sebenarnya umi redha dengan semua arahan yang diberi cuma kali ini berpergian dalam bulan ramadhan tambahan pula anak-anak sedang bercuti sekolah bukanlah suatu kemahiran yang dapat umi tanamkan dalam diri umi dengan mudah.

Sepanjang 2 tahun mengajar di IPGM mulai Ogos 2007 umi telah melalui 3 kali pengalaman menginap dan berpuasa di hotel. Kali pertama di Rompin Pahang bersama JIP, tahun lepas di Shah Alam dan kali ini di Chow Kit Road.

Berbuka puasa di hotel mungkin digambarkan sebagai cara hidup masyarakat berprestij hari ini. Saban tahun di dada-dada akhbar kita boleh melihat promosi pelbagai hotel untuk menarik pelanggan mengunjungi restoran-restoran hotel yang menawarkan pelbagai sajian menarik untuk hidangan semasa berbuka puasa.

Namun bagi umi cukuplah 3 kali pengalaman berbuka puasa di hotel. Banyak manalah perut kita ini boleh menampung makanan walaupun dilambak kan dihadapan kita dengan pelbagai menu yang 'kelihatan menarik' itu. Lagipun yang cantik tak semestinya seenak masakan dirumah yang dimasak dan dihidang atas dasar kasih sayang. Penat lelah si tukang masak yang seikhlasnya ditujukan untuk seluruh ahli keluarga. Ahli keluarga yang diikat atas ikatan mawaddah wa rahmah....

So kali ini umi akan berada di hotel grand continental untuk menyiapkan kajian tindakan yang sepatutnya dibentangkan di peringkat BPG pada tahun ini dalam suasana bulan ramadan yang mulia.

Di sebalik kesesakan orang ramai yang datang berkunjung ke hotel dan kebingitan nyanyian penyanyi yang sepatutnya 'menghibur', umi dihimpit rasa kerimasan dan kesayuan kerana tidak berada bersama-sama anak-anak di rumah. Walaupun menunya sekadar nasi lemak, sambal tumis ikan bilis, ikan cencaru bakar dan bubur ca-ca yang umi sediakan pada puasa kedua, kemeriahan berbuka begitu dirasai oleh kami sekeluarga.

Moga wani, kakcik , eman , eta dan ali membaca entri ini....
maaf dari ummi

Hotel Grand Continental, Jln Raja Laut, Kuala Lumpur
25 Ogos, 2009
11.00 am.

Saturday, August 22, 2009

ARAHAN UNTUK PISMP PL GROUP

Baca maklumat di bawah untuk bantu anda selesaikan KKP anda..

1. Berikan tajuk yang sesuai untuk esei anda itu.
2. esei mesti ada pendahuluan dan penutup.
3. buat sub heading seperti yang saya cadangkan ini.

tajuk:

Pendahuluan:

Konsep dalam teori-teori pembelajaran
(jelaskan konsep umum bagi setiap teori... tak perlu detailkan sumbangan ahli setiap mazhab nya. beri kenyataan penting teori itu sahaja)

Implikasi teori pembelajaran dalam P&P:
(jelaskan bagaimana prinsip teori itu digunakan dalam p&p)
untuk memudahkan nya anda boleh huraikan berdasarkan faktor-faktor yang boleh membawa kepada keberkesanan bilik darjah

Penutup:

jika masih tak jelas boleh emel kepada saya....

Selamat menyiapkan tugasan...

RAMADHAN DI ZAMAN KECIL KU...

Actually its raining outside...not that heavy...but it is quite a scene...I am sitting in front of the laptop which is facing the window that is open to the backyard of my house. Quite a scenery becoz ada pokok duku, pisang, pokok getah, pokok pandan wangi, ubi, rambutan...dan macam-macam pokok. Orang kat bandar jarang ada suasana macam ni .

There is no sound of vehicle becoz there is no main road here only jalan kampung yang boleh di lalui oleh satu kenderaan sahaja pada satu-satu masa. Only the sound of the raindrop can be heard now. And amazingly I am on the net which could connect me to the world. So I maybe in the kampong, real kampung but well connected... excellent in fact.. better than the berukband that my son mentionend in his blog although he is living in the heart of the metropolitant KL.

Enough of the scenery.. the rain is getting heavier now.

Sebenarnya umi nak cerita pasal ramadhan zaman umi masa anak-anak kecil dulu. Umi tergolong dalam anak-anak yang membesar zaman pop ye ye...Maksudnya zaman 1970an. Masa tu penyanyi yang sinonim dengan era itu adalah seperti A. Ramli, Jefri Din dan ramai lagi (umi tak ingat namanya) Antara lagu yang popular adalah lagu 'Oh Fatimah' . Lagu itu sangat umi minati sebab mengingatkan pada bonda umi yang namanya Patimah. Kata mak ... dia pernah berpaling bila dengar lagu tu dekat pasar minggu sebab dia ingat orang panggil dia.

Ketika itu umi masih bersekolah rendah dan umi tinggal di rumah nenek. Umi dan kaklong berdua tinggal di situ kerana parent kami menetap di Sg Besi. Ayahanda kami bekerja sebagai askar di Kem Sg Besi. So kami melengkapkan lagi keramaian yang telah sedia ada di rumah nenek. Ketika itu aki (panggilan untuk datuk) adalah ketua rumah kepada dua orang isteri dan setiap isteri itu pula ada tak kurang daripada 7 orang anak. Sampai ini umi tak pernah tahu dengan pasti berapa orang anak daripada setiap isteri aki. Sebab mereka tu dah blend together. Maknanya setiap kali waktu berbuka ada 17 orang kanak-kanak , 2 orang ibu dan seorang ayah. Besarkan... meriah sangat...Tapi tak ada gaduh-gaduh sebab kami semua sangat takut dan hormat pada aki.

Oleh kerana bapa saudara dan mak saudara kami ramai... maka kami yang tergolong dalam angkatan kanak-kanak di bawah umur 'dilarang' berpuasa... Memang itulah yang berlaku.. Masa itu kami yang di sekolah rendah ni tak dibenarkan berpuasa. Kalau kami menyorok-nyorok ikut bersahur pun masih tak dibenarkan berpuasa. Yang tak bestnya masa berbuka pun kami dihalang daripada memasuki dapur.

Bila umur dah besar sedikit barulah kami masuk dalam angkatan orang-orang yang berpuasa. Paling best waktu nak dekat berbuka sebab waktu itu kamilah bala tentera yang akan menghantar makanan ke rumah jiran dan saudara mara. Waktu itu tak ada bazar ramadhan macam sekarang ni. Jadi setiap petang semua suri rumah akan memasak sendiri juadah untuk berbuka puasa. Masa itu lah kuih buah melaka, ondeh-ondeh, menteri mandi, badak berendam, seri muka, talam berlauk, kuih koci, kuih dadar, dan macam-macam setiap hari bertukar menunya.

Seronok sungguh menghantar juadah ke rumah-rumah jiran sebab setiap pinggan yang pergi pasti balik berisi dengan juadah daripada jiran itu pula. Jadinya semasa berbuka puasa meja hidangan kami akan penuh dengan pelbagai makanan. Yang bestnya makanan itu tak membazir pun , sebab memang kami akan menghabiskannya. Kalau tak sempat masa berbuka kami akan sambung lepas solat terawikh di depan tv (hitam putih) masa tu. Masa ramaddhan siaran yang paling popular adalah musabaqah membaca al Quran. kami sekeluarga akan berhimpun di hadapan tv untuk menonton musabaqah. Biasanya aki akan set kan sapa calon pilihan nya. Kami juga akan menonton macam aki..... sambil menonton sambil menilai...Aki adalah imam kampung tersebut.. salah sorang ulama negeri melaka. Beliau pernah mengaji di Mekah.

Waktu sahur pula kami tak perlu di jerkah untuk dikejutkan pun sebab waktu pagi aki (orang yang pertama bangun) akan membuka siaran radio waktu pagi sebesar-besarnya. Berkumandanglah suara umi kalsom penyanyi mesir dengan lagunya yang merdu. Bila aki dah pasang radio maknanya semua orang dah kena bangun. In fact anak-anak lelaki aki tidur di ruang tamu beralaskan 'lembek' nama sejenis tilam . Manakala kami yang perempuan tidur dalam sebuah bilik beramai-ramai. Of course katil is not needed.

Sahur kami adalah seawal pukul 3.30 pagi... memang awal betul. Selepas sahur biasanya kami yang masih kecil akan tidur semula.

So begitulah Ramadhan semasa umi kecil dahulu. Memang saat berpuasa sewaktu masih kecil sangat meriah sebab kita diraikan.. Bila dah dewasa dah jadi ibu, waktu puasa adalah waktu tanggungjawab semakin bertambah sebab nak memikirkan untuk meraikan anak-anak berpuasa pulak.

Terima kasih pada arwah aki yang mengajar umi berpuasa, terima kasih pada arwah nek Esah dan nek Busu (isteri-isteri aki) yang bersusah payah memeriahkan puasa umi dengan juadah dan kenangan yang tak mungkin dilupakan...

RAMADHAN YANG KU KENANG

So it's fasting month already....

another fasting month means another year older... means that usia pinjaman dah tinggal sedikit sahaja...

So I am not going to describe what I did today... but I am refreshing my memory during my ramadhan berpuluh-puluh tahun dahulu...

Well masa tu umi bujang lagi... single lagi ... of course muda belia... sweet 18...

Umi kat kanada masa tu... So kalau tak silap umi kali pertama umi berpuasa kat kanada ... masa tu musim panas... rasanya lah... dah tak ingat samada summer atau winter...

Memang besar bezanya berpuasa masa summer dengan berpuasa during winter... sebab kalau berpuasa masa summer... waktunya panjang... sebab matahari waktu siang lebih lama daripada matahari pada waktu malam. So kita akan menahan lapar dahaga lebih daripada 12 jam. Tapi yang interestingnya tak rasa lapar pun... sebab kat sana tak ada panas macam kat Malaysia ni yang panas lembab buat kita berpeluh semacam... dehydrate jadinya...

Kalau berpuassa masa winter pulak... matahari lebih panjang waktu malam dan pendek waktu siang... so kita akan menahan lapar dan dahaga pada waktu yang lebih singkat...

(Dr Zakiah kalau baca entry ni boleh lah confirmkan... sebab dia lebih berpengalaman dalam bab ini.. kakak dia ni hanya rasa duduk kat tempat orang 5 tahun aje... tak macam adik ummi ni yang memang menjelajah bumi 4 musim itu)

Pengalaman paling menarik buat umi sewaktu berpuasa di Kanada adalah bila kami dapat berbuka puasa (iftar) bersama-sama sisters di sana yang terdiri daripada masyarakat Islam yang telah menetap di Kanada. Kami dianggap sebagai golongan mustadhafin di sana so selalu dapat sedekah daripada mereka..memang layak terima zakat pun...

Mak2 arab ni kalau berbuka...hidangannya sebesar badan mereka... kambing bakar seekor dihidangkan...lepas satu hidangan ke satu hidangan... sampai akhirnya kami tak larat nak makan. Makanan yang paling istimewa buat ummi adalah baklava...sejenis manisan.. yang terdiri daripada pastri di dalamnya ada macam2 kekacang... dan ditaburkan atasnya dengan madu... memang lazat dan sangat manis... hingga ke hari ini umi teringat baklava tu...

Satu lagi hidangan istimewa makcik2 daripada benua afrika adalah sayur atau usus yang disumbatkan dengan pelbagai bahan dan rempah...macam lada solok orang kelantan....

Oleh kerana cuaca di sana tidak menyebabkan kita berpeluh sangat maka berpuasa di sana tidaklah membebankan...Memang seronok bila berbuka bersama-sama rakan-rakan serumah... Masing-masing akan memasak ikut stail negeri asal mereka... Umi pernah tinggal dengan rakan-rakan daripada pelbagai negeri... Johor, Perak, kelantan , Terengganu, Pulau Pinang dan kedah. Bila kami dah lama di sana masakan kami dah bercampur-campur stailnya... dan ada yang kebaratan sedikit... contohnya makaroni , spagethi dan piza... tapi kami akan masak menggunakan stail kita kat Malaysia... mesti bubuh lada supaya lebih sedap....

Jadi bila umi balik Malaysia masakan umi dah jadi tak berapa pure melakanya.... dah mula tambah gula sikit dalam masakan... (sikit aje) tapi umi pastikan tak bubuh gula kalau arwah mak ada...

Sepanjang ingatan umi , kami tak pernah miss berterawikh di sana sebab kami ada apartment yang kami jadikan surau... so disitu kami akan berkumpul dan bersembahyang terawikh... Oleh kerana semua nya perempuan maka sering juga umi jadi imamnya... (sekarang ni jangan suruh umi jadi imam... dah semput). Masa tu kami berlumba-lumba menghafal surah-surah dalam alquran...

Sedih pulak bila terkenang kan pengalaman ramadhan itu... terkenang pada kawan-kawan sama batch seperti Kak Mah, farah, Norli, Sham, Pahriyah, Zulaipah dan ramai lagi . Di mana agaknya mereka sekarang ni terutamanya Halimaton saadiah saad (rakan senama dengan umi) The last time umi dengan pasal dia ... halimaton sedang sambung Phd di UIA, lepas dengar cerita suaminya meninggal umi tak pernah dengar kisah dia lagi.

Begitulah sebahagian kenangan umi berpuasa di negara orang....

so anak-anak umi berusahalah ... mana tahu dapat peluang ke negara orang... seronok dapat melihat suasana yang sangat berbeza daripada tempat asal kita.....

actually the more you know about other people's life... the more you will apreciate the life that you have....

Monday, August 17, 2009

HARI INI ADALAH HARI AKU DI KENANG...

I have been teaching for twenty three years. Ever since graduated from University of Guelph, Toronto Canada. Most of that years were spent at religious school either private or under government. Sehinggalah umi mengambil diploma pendidikan di MPPM (sekarang ni IPPM) barulah umi bertaraf guru tetap kementerian itupun umi masih memilih untuk dipinjamkan mengajar di sekolah JAIM. Selama itu jugalah gaji umi dibayar oleh SMK Seri Mahkota namun umi berkhidmat di SMA JAIM di Serkam.

Bermula daripada zaman mengajar di pondok lagi kami di latih bahawa tugas kami adalah semata-mata kerana beribadah kepada Allah swt. Bukan untuk mendapat ganjaran material jauh lagi untuk memperoleh anugerah.

Apabila umi mengajar di SMA JAIM orientasi bekerja ala-mujahidin itu umi teruskan juga. Kali ini sasaran umi adalah ke arah pembangunan sekolah tersebut kerana sekolah-sekolah agama rakyat baik persendirian mahupun di bawah kerajaan negeri amat terabai daripada segi pembangunan. Driving force nya adalah wajah anak-anak murid yang bersih sesuci kain putih yang tidak dicemari lagi dan di wajah itu juga adalah gambaran ulama' wal umara' yang bakal menentukan generasi akan datang. So selama berada di sekolah tersebut umi tidak pernah menerima sebarang anugerah walaupun penilaian prestasi umi tidak pernah turun daripada 90 dan pernah mencecah 96% dianugerahkan oleh Pengetua ketika itu kerana pada masa itu umi telah menjawat jawatan GPK HEM di sekolah tersebut.

Dalam tempoh berkenaan juga umi tidak pernah mengharap untuk menerima anugerah kecemerlangan kerana pada dasarnya penilaian prestasi umi ditentukan oleh SMK Seri Mahkota di mana hanya nama umi sahaja berada di situ tetapi umi sebenarnya berkhidmat di SMA JAIM.

So anugerah pertama yang umi peroleh adalah hadiah latihan untuk menyambung pengajian secara sepenuh masa di UM di peringkat sarjana. Ketika itu juga umi berkesempatan untuk berada di sisi bonda yang dikasihi suatu masa yang benar-benar anugerah buat umi kerana umi satu-satunya anak bonda yang tinggal bersama-sama beliau sehinggalah ke akhir hayatnya.

Sewaktu mengajar di SMK Seri Mahkota setamatnya umi daripada cuti belajar umi berpuas hati dengan anugerah yang dikurniakan oleh pelajar-pelajar yang telah bersama-sama umi selama 2 tahun kerana pencapaian mereka yang baik dalam SPM.

Selain daripada itu, umi tidak pernah menerima sebarang anugerah kerana perkhidmatan yang umi berikan. Sehinggalah hari ini selepas genap 2 tahun umi berada di IPPM ini sebagai pendidik guru umi menerima anugerah yang walaupun kecil namun sangat berkesan di hati umi. Cukup lah dengan nama anugerah itu... anugerah kualiti berpotensi dan berbakat... Selepas 23 tahun bergelumang dengan kerjaya ini ... pada hari ini umi di iktiraf sebagai guru yang berpotensi dan berbakat dalam anugerah sempena Hari Kualiti IPPM....

Ia buat ummi berfikir... well I have the talent and the potential to be a good lecturer....

(mungkin kalau rakan sekursus umi sewaktu di Toronto dulu yang kami panggil Pat membaca blog ummi ini pasti tersenyum , sebab beliau baru sahaja menerima anugerah sempena sambutan keputeraan Raja Pahang dan mendapat gelaran Datuk pada 5 Ogos tempohari... )

So Datuk Dr Marzalina Mansor...tahniah kerana beroleh gelaran tersebut... tahniah kerana kepakaran dalam bidang sains. Walaupun kami yang lain-lain tersangkut kat bidang pendidikan at least ada kawan di Mack International Academy yang terus forward dalam bidang Sains.

Sunday, August 16, 2009

Bulan untuk mengenang....

Hari ini umi dikejutkan dengan berita pemergian Pak Ipin saudara sekampung dengan ummi. Bila mendengar berita pemergian Pak Ipin umi teringat kenangan mengenai Pak Ipin yang umi simpan dalam kotak memori ummi.

Bagi ummi Pak Ipin sangat sinonim dengan bulan Ramadhan. Suara Pak Ipin sering berkumandang di speaker masjid melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat. Suara Pak Ipin yang merdu melaungkan azan itu juga pernah berkumandang di musabaqah al quran peringkat kebangsaan. Lebih menarik lagi dalam bulan ramadhan seisi kampung akan dikejutkan oleh suara Pak Ipin mengingatkan kami waktu untuk bersahur. Di kampung kami lebih kurang 45 minit sebelum masuk waktu subuh, Pak Ipin akan menggunakan speaker masjid untuk memaklumkan masa yang ada untuk kami bersahur.

"muslimin dan muslimat sekalian, bersahurlah anda kerana waktu imsak tinggal 10 minit lagi" laung Pak Ipin melalui speaker.

Bagi mereka yang kesiangan sudah pasti kelam kabut mencapai apa sahaja untuk di makan sewaktu sahur.

"muslimin dan muslimat sekalian, waktu imsak telah sampai" laung Pak Ipin yang bermakna telah tamat tempoh untuk bersahur, cuma ada yang kata boleh lagi bersahur dalam masa kecederaan sehingga sampai azan subuh.

malanglah bagi mereka yang hanya bangun apabila Pak Ipin telah melaungkan azan suboh kerana tiada rezki untuk bersahur.

Begitulah kenangan Pak Ipin yang umi tak akan lupakan. Kata orang harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Bagi Pak Ipin sepanjang hayatnya mengingatkan kami untuk beribadah. Begitu besar bakti Pak Ipin dalam hidupnya. Semoga rohnya dimasukkan bersama-sama mereka yang beriman dan para solihin.

Bagi umi, pemergian Pak Ipin, jiran sekampung, sahabat bonda yang dikasihi, bermakna bertambahlah mereka yang sebaya dengan ayah dan bonda umi yang telah meninggalkan kami menuju hidup yang lebih kekal abadi di alam barzakh, bermakna kami anak-anak mereka juga tak jauh daripada mengikut jejak langkah mereka yang terdahulu hidup daripada kami. Sesungguhnya mati itu benar, dan dosa pahala itu benar, dan balasannya juga adalah benar, tidak dapat kita dustai.

Semoga Allah menerima roh-roh mereka yang pernah berjasa dalam hidup umi dan semoga umi dapat mencontohi amal ibadah yang telah mereka lakukan sepanjang hidup mereka dan semoga umi dapat melaksanakan yang lebih baik daripada itu....

Saturday, August 15, 2009

TANDA-TANDA PENUAAN....

I am suppose to attend my Phd class dekat IPPM at 3 pm today. But I couldn't push my self to continue writing my thesis. Btw, we have to send the kids to their hostels too. Eta is to syarodz hostel, Buja and his friend to MC so that they could take their bus to KL. One more thing, Pinah our nephew is also to be send to her hostel at maahad saidatina khadijah. Lebih complicated lagi, RBB is suppose to attend a function kat kampung ni, gotong royong kampung sempena Ramadhan yang menjelang. So everything is pack today and yet I don't feel like doing anything. In fact I am not rushing for anything. Does that mean I am showing a sign of ageing or a sign of obesity? Or I am showing a sign of boths which they say as a high risk factor of HINI fatal cases...

Thursday, August 13, 2009

POK TEH DALAM KENANGAN

Semalam aku mencium dahi Pok Teh buat kali pertama dan terakhir dalam sejarah hidup ku. Dahi Pok Teh yang kaku itu ku kucup dengan penuh hormat dan takzim. Pok Teh satu-satunya bapa saudara ku yang unik.

Kami jarang dapat berbual-bual seperti rakan karib tapi dia tetap dekat dengan kami. Pok Teh yang selalu hadir dalam diam dalam kalangan kami. Pok Teh yang sesekali bersuara mengusik kami. Kehadirannya dalam kehidupan kami seumpama kehadiran tuan Hj Omar Abdul di IPPM. Walaupun dia jarang bersuara tetapi kehadiran nya dirasai.

Satu-satunya bapa saudaraku yang peka dengan perkembangan pelajaran ku sedari aku kecil lagi. Satu-satunya bapa saudara yang memberikan aku hadiah kerana kejayaan aku dalam pelajaran. Sewaktu mengurus jenazah Pokteh aku lihat semua adik beradik pokteh ada disitu. Keunikan yang tersendiri kerana pok teh ada ramai adik beradik tiri (arwah aki ku dulu beristeri dua dan mereka tinggal serumah... bahkan nenek tua pernah menyusukan anak nenek muda). Aku dan kaklong rapat dengan anak-anak aki kerana kami tinggal dengan mereka sewaktu kami bersekolah rendah.

Aku terkilan kerana tidak berjaya menyelesaikan masalah pokteh di akhir-akhir hayatnya walaupun kami telah berusaha. Aku yakin Pok Teh tidak gembira dengan masalah itu... Aku juga yakin Pok Teh bersedih di akhir hayatnya.

Walau apa pun ayat terakhir yang pokteh bicarakan pada ku sewaktu dia menaiki kereta Nissan Sylphy kemajlis nikah saudara kami masih ku ingat hingga kini.

Kata Pok Teh "Ton, Fatah dapat A1 dalam Biologi" Fatah anak Pok Teh yang kelima yang dulunya pernah ku ajar semasa di SMK Seri Mahkota.

"Fatah kata dia suka kau ajar dia biologi" jelas Pok teh lagi.

Dalam hatiku berbunga-bunga. Ayat daripada Pok teh yang jarang-jarang keluar darinya itu sangat ku hargai. Sebagai seorang guru, ayat Pok teh itu menambahkan semangat buat aku meneruskan profesion ku kini yang melatih bakal guru. Penilaian secara tidak rasmi daripada sepupu dan disampaikan oleh bapa saudaraku sendiri mengenai pengajaran ku sewaktu di sekolah dahulu itu merupakan satu penghargaan tidak ternilai buat aku. Terasa seperti Pok Teh memberikan pengiktirafan profesion anak saudara nya ini yang kini telah 23 tahun menjadi seorang pendidik.

Semoga roh Pok Teh di terima dan di masukkan dalam golongan mereka-mereka yang beriman.

UNTUK PERHATIAN ANAK-ANAK KPLI BK...SILA BACA

artikel ini di petik daripada http://sandradodd.com/teaching/

Baca artikel di atas dan respon di sini....

atau kalau tak jumpa baca artikel tu dekat entry yang saya khaskan untuk pelajar PISMK PL...... ia adalah artikel yang sama. Pastikan semua orang respon di entry ini....pastikan nama sebenar dinyatakan... saya tak mahu nama samaran....

Sunday, August 9, 2009

SEMANGAT 46

46 years ago on this very day the 9th of august 1963 I was born at kg serkam....

Hmmph....nampaknya bertambah setahun lagi usia yang tuhan pinjamkan untuk ku...
Kalau kereta yang seusia aku ni dah masuk bengkel dah jadi besi buang.... recycle dan jadi benda lain...
tapi aku insan yang serba dhaif ini masih bernafas,
masih merasai kenikmatan makan.....
lebih beruntung lagi dikurniakan 8 orang anak yang mengingat hari lahir bondanya ini..
selamat hari jadi buat diriku... (sebab ini blog aku kan....)
selamat hari jadi...
selamat hari jadi....
selamat ulangtahun kelahiran...

thank u RBB for sharing half of that age...
maknanya...aku hidup sebagai insan bersendirian bernaungkan ayah dan bonda sehingga usiaku 23 tahun.
selepas itu... aku melalui kehidupan ku di bumi ini bersama-sama RBB ...
dan diam tak diam dah 23 tahun aku bersama RBB...
diam tak diam... kami dah ada anak yang usianya dah 21 tahun.....

syukur kepada Ilahi yang memberikan anugerah kehidupan ini...

(terima kasih juga buat Kamaliah dan Salwa ex student masa kat Seri Mahkota... yang sentiasa ingat birthday saya dan ustazah Masturah)

Friday, July 31, 2009

TINGKATAN 5FIKIR SMK SERI MAHKOTA

Petang semalam sebaik umi memasuki ruangan minimarket station minyak mobil di Semabok untuk membeli minuman umi mendengar suara memanggil "cikgu". Sebagai seorang guru (walaupun kini dah bergelar pensyarah) umi memang sensitif dengan panggilan itu di pasar, di jalanraya atau di mana sahaja. Tetapi umi tak nampak pun sesapa di sekeliling umi yang umi kenali sebagai murid di dalam kedai itu. So umi meneruskan pencarian minuman untuk umi minum dalam van , hari itu umi di ambil oleh along ammar yang sedang bercuti kuarantin. Kata ammar WIRA buat hal lagi, kali ini stering nya tak boleh berpusing. Bila RBB pulang petang nya dan memeriksa kereta itu , rupanya tali stering nya putus. Alhamdulillah, tidak ada impak buruk yang berlaku akibat insiden tersebut.

Bila umi ke kaunter untuk membayar harga sekotak air soya dan sebotol air apple berkarbonat (tanpa memandang pada gadis di kaunter itu) panggilan 'cikgu' itu kedengaran lagi rupa-rupanya gadis di kaunter itu yang memanggil umi. Umi mengangkat muka memandang wajah gadis itu kerana cuba melihat wajah yang memanggil umi dengan panggilan cikgu. Keadaan seperti itu adalah keadaan biasa bagi umi sebab kalau umi berpergian ke kedai, pasar atau di mana-mana kerap juga umi dipanggil cikgu kerana agaknya di wajah umi ini sudah ada tanda-tanda cikgu...

"cikgu, tak kenal saya ye" kata gadis itu.
"siapalah anak murid saya yang masih ingat saya ni" balas umi merendahkan diri sambil cuba mencari dalam kotak memori umi wajah gadis itu dan namanya.
"saya eka lah cikgu" bersungguh-sungguh mengenalkan dirinya.
"oh, kamu tingkatan 5 f dulukan" gembira umi kerana akhirnya dapat menjumpai file mengandungi maklumat diri gadis ini dalam kotak memori lama umi.
"haah cikgu, tulah dulu malas belajar, sekarang ni baru menyesal cikgu" tambah gadis itu tanpa ditanya.
"kamu ingat saya lagi ek" sambung umi dengan bangga diri.
"memang le , cikgu lah guru saya yang paling best" gadis itu yang namanya Siti Zulaikah murid umi ditingkatan 5Fikir SMK Seri Mahkota tahun 2006 menekankan kenyataan yang ada dari dalam dirinya. Dalam suara nya itu umi kesan betapa bermaknanya umi buat dirinya. Memori mengenai umi yang di simpan dalam memori dia sebagai seorang pelajar yang sentiasa berada di belakang dalam akademik. Memori mengenai umi dari dalam dirinya yang sering di kaitkan dengan masalah disiplin. Memori mengenai umi guru tingkatan nya daripada tingkatan 4 Fikir tahun 2005 sehingga tingkatan 5 fikir tahun 2006.

Sayu hati umi mengenangkan kenangan umi bersama pelajar tingkatan 5 fikir. Walaupun umi tak mungkin menemui mereka sebagai seorang doktor, atau sebagai seorang peguam , atau sebagai seorang jurutera, bahkan sukar untuk menemui mereka di ofis yang berhawa dingin namun di manapun umi menemui mereka , umilah bekas guru nya yang sangat diingati. Daripada 38 orang pelajar umi ditingkatan itu hanya 4 orang yang gagal dalam subjek umi walaupun mereka adalah pelajar daripada kelas ke tujuh dalam tingkatan 5 atau kelas ke 2 daripada belakang dalam tingkatan 5.

Walaupun mereka tidak menyedarinya tetapi pengalaman bersama mereka lah yang banyak mengajar umi mengenai hakikat sebenar menjadi seorang guru. Pengalaman itu jugalah yang umi kongsikan selalu dengan guru-guru pelatih yang umi hadapi dalam subjek ilmu pendidikan. Pengalaman mengajar pelajar-pelajar yang tidak bermotivasi belajar. Pengalaman mengajar pelajar-pelajar yang tidak punya harapan untuk masa depan yang lebih tinggi. Pelajar yang mempunyai keyakinan diri yang rendah. Pelajar yang melihat pelajaran di bilik darjah sebagai suatu yang memeritkan.

Dihujung perjalanan umi bersama mereka di SMK Seri Mahkota, umi tahu mereka menghargai guru kelas mereka ini. Merekalah yang menganugerahkan kepada umi gelaran the best teacher sewaktu majlis sambutan hari guru dan kerana pencapaian mereka yang baik sewaktu SPM umi diberikan anugerah khas pengetua untuk peningkatan pencapaian dalam SPM tahun 2006.

Buat Zulaikah dan rakan-rakannya daripada tingkatan 5 FIKIR tahun 2006 SMK Seri Mahkota anda sekalian sentiasa di hati cikgu. Entry ini umi tujukan khas buat mereka semua walaupun umi tahu peluang untuk mereka menemui blog ini amat sukar bahkan mungkin pekerjaan mereka sekarang ini bukanlah bidang yang memerlukan mereka menghadap komputer.