Monday, August 24, 2009

RAMADHAN DI HOTEL..

Sepanjang berkhidmat di IPGM mengunjungi dan menginap di hotel adalah salah satu kemahiran baru yang perlu umi kuasai. Antara lain adalah kemahiran menyiapkan beg dengan segala keperluan yang mencukupi selama tempuh jangkaan umi perlu berada di satu-satu tempat. Selain itu kemahiran berkomunikasi dengan ahli keluarga terutama anak bongsu umi untuk memastikan pemergian umi tersebut mendapat restu daripada mereka semua yang akan ditinggalkan.

Kemahiran itu telah umi kuasai dengan baik cuma sejak akhir-akhir ini atas dasar perbelanjaan berjimat BPG maka umi sudah tidak perlu risau lagi memandangkan kekerapan menghadiri program di luar IPG telah dikurangkan.

Ketenangan umi daripada gangguan-gangguan arahan untuk menghadiri program IPG di luar kawasan tidak lama kerana kali ini umi menerima arahan untuk menghadiri mesyuarat di Hotel Grand Continental di KL. Sebenarnya umi redha dengan semua arahan yang diberi cuma kali ini berpergian dalam bulan ramadhan tambahan pula anak-anak sedang bercuti sekolah bukanlah suatu kemahiran yang dapat umi tanamkan dalam diri umi dengan mudah.

Sepanjang 2 tahun mengajar di IPGM mulai Ogos 2007 umi telah melalui 3 kali pengalaman menginap dan berpuasa di hotel. Kali pertama di Rompin Pahang bersama JIP, tahun lepas di Shah Alam dan kali ini di Chow Kit Road.

Berbuka puasa di hotel mungkin digambarkan sebagai cara hidup masyarakat berprestij hari ini. Saban tahun di dada-dada akhbar kita boleh melihat promosi pelbagai hotel untuk menarik pelanggan mengunjungi restoran-restoran hotel yang menawarkan pelbagai sajian menarik untuk hidangan semasa berbuka puasa.

Namun bagi umi cukuplah 3 kali pengalaman berbuka puasa di hotel. Banyak manalah perut kita ini boleh menampung makanan walaupun dilambak kan dihadapan kita dengan pelbagai menu yang 'kelihatan menarik' itu. Lagipun yang cantik tak semestinya seenak masakan dirumah yang dimasak dan dihidang atas dasar kasih sayang. Penat lelah si tukang masak yang seikhlasnya ditujukan untuk seluruh ahli keluarga. Ahli keluarga yang diikat atas ikatan mawaddah wa rahmah....

So kali ini umi akan berada di hotel grand continental untuk menyiapkan kajian tindakan yang sepatutnya dibentangkan di peringkat BPG pada tahun ini dalam suasana bulan ramadan yang mulia.

Di sebalik kesesakan orang ramai yang datang berkunjung ke hotel dan kebingitan nyanyian penyanyi yang sepatutnya 'menghibur', umi dihimpit rasa kerimasan dan kesayuan kerana tidak berada bersama-sama anak-anak di rumah. Walaupun menunya sekadar nasi lemak, sambal tumis ikan bilis, ikan cencaru bakar dan bubur ca-ca yang umi sediakan pada puasa kedua, kemeriahan berbuka begitu dirasai oleh kami sekeluarga.

Moga wani, kakcik , eman , eta dan ali membaca entri ini....
maaf dari ummi

Hotel Grand Continental, Jln Raja Laut, Kuala Lumpur
25 Ogos, 2009
11.00 am.

1 comment:

Fauziah Hj Yahya said...

inilah harga anugerah 'berbakat dan berpotensi'...