Friday, April 25, 2008

Warkah buat Ummu Aiman

Assalamualaikom.

Hari ini Sabtu, 26 April 2008.

16 tahun yang lampau, pada tarikh yang sama Eyeman dah tak sabar-sabar ingin menjengah dunia. Tapi hari ini, Eyeman dah besar panjang, wajah dah serik di mamah mentari bukit Syarifah Rodziah. Berbaris menanti nama diumumkan untuk naik ke pentas dewan Syarifah Rodziah, sekolah kluster pertama di Melaka.

Pagi-pagi lagi ummi dah bersiap-siap untuk ke Syarod. Abuyah ada ceramah di Politeknik Merlimau pukul 8.30 pagi. Macamana ni.....? Majlis bersejarah Eyeman perlu dihadiri. Jika tidak.... pasti Eyeman berkecil hati.

Abuyah memberikan beberapa pilihan. Ummi memandu sendiri ke Syarod dan Abuyah drive Van. Bukan pilihan yang baik buat ummi. Untuk memanjat bukit Syarod . Pasti hari ini ada banyak kenderaan akan naik ke bukit Syarod. Akhirnya ummi buat pilihan. Ummi akan cari kenderaan awam ke Telok Mas.

Akhirnya pukul 8.30 pagi ummi sudah berada dalam perut bas MOS yang akan ke Malacca Central. RM 1.50 bertukar tangan. Bas bergerak begitu perlahan. Sesekali apabila rodanya mencecah jalan yang tak rata, badan ummi juga turut dibuai macam dalam buaian. Akhirnya 8.50 ummi sampai juga ke bukit Syarodz.

Jalan mendaki bukit Syarodz telah sunyi dari kenderaan. Mujur hanya ummi sorang mendaki bukit itu. Sesekali ada kenderaan menuruni bukit. Ummi berharap tak ada orang yang mengenali ummi. Malu rasanya. Beginilah akibatnya orang yang boleh memandu tapi enggan berkenderaan ke sana ke mari. Mengapalah diri ini begitu dhaif bab berkenderaan ni. Kalau tak terpaksa, stering kereta tak akan dipegang.

Akhirnya setelah menaiki bukit dan kemudian menuruni tangga, ummi diiringi oleh anak-anak puteri syarodz ke dalam dewan. Mujur acara Eyeman belum bermula lagi. Ummi membelek buku program majlis tersebut. Nama Eyeman mengikut susunan abjad penerima anugerah cemerlang PMR 9A paling bawah sekali daripada 58 orang calon. Ummu Aiman bte Rahimin. Akhirnya ada juga anak buyah di senaraikan sebagai pelajar cemerlang sekolah.

Kisah ummi dimajlis anugerah Eyeman tidak tamat di situ sahaja.......

Letih pulak rasa badan ini.... Penat mendaki bukit Syarodz. Rasa nak putus jantung. Tercungap-cungap mendaki bukit. Sudah uzur diri ini. Tak larat rasanya mendaki bukit. Ummi terpaksa berehat seketika di tengah pendakian tadi. Kalau diteruskan juga harus rebah ummi sebab keputusan oksigen.

Ada kesempatan nanti ummi akan sambung coretan ummi......

Dalam sedih ada gembira. Dalam kedukaan ada airmata kegembiraan........ Tiba-tiba teringat pada arwah bonda Fatimah. Begini agaknya rasa hati bonda setiap kali kami anak-anaknya menerima kejayaan demi kejayaan..... Maafkan anak mu ini..... Semoga roh bonda dan ayahanda sentiasa dicucuri rahmat hendaknya. Amin ya rabbal alamin......

No comments: