Wednesday, April 30, 2008

hari-hari membilang cucu...


Assalamualaikom.

Apa khabar semua anak-anak ummi baik di mana kalian berada (di rumah, di sekolah mahupun di kolej).

Hari ini 1 Mei cuti buat semua buruh di Malaysia.

Ummi pun teringin nak bermalas-malasan hari ini. Pagi-pagi ummi masak sarapan + makan tengahari + makan malam sekali. Menunya nasi lemak dan sambal ikan bilis. Mudahkan.... sedap lagi enak.

Lama ummi tak berceloteh. Hari tu ummi bersemangat nak menulis di blog ini tapi tenaga terbatas. Exhausted betul.

Kelmarin ummi ke Jusco membeli belah bersama buyah. Kenderaan melimpah-limpah sampai kami terpaksa memakir kereta di luar kawasan JJ. Ini semua penangan sale JJ. Ummi pun nak ambil kesempatan mencari satu dua barang. Akhirnya dapat juga membeli beberapa barangan penting. Ummi memang jarang berlebih-lebihan membeli. Cuma beli yang perlu sahaja.

Sewaktu keluar dari JJ ummi tertembung dengan anak murid ummi sewaktu mengajar di JAIM dulu. Masfufah Abd Rahim. Ummi jadi guru kelas Masfufah sewaktu dia di tingkatan 5. Kebanyakan rakan-rakan Masfufah sentiasa ummi kenang. Mereka adalah kumpulan pelajar yang sangat aktif di dalam dan di luar kelas. Masfufah sangat aktif dalam kurikulum dan juga aktiviti ko kurikulum. Ummi sering bersama dia kerana melatih dia untuk pertandingan pidato. Uniknya ketika itu, Masfufah menulis teks pidatonya sendiri tidak seperti pelajar-pelajar selepasnya pidato memang ummi penulis teksnya, mereka hanya menggayakan sahaja.

Masfufah seorang pelajar yang tabah berusaha. Nasib sentiasa menyebelahi dia, dia cemerlang dalam pelajaran dan juga dalam setiap pertandingan yang disertainya. Begitulah Masfufah salah seorang murid yang ummi tak akan lupakan dari lipatan kenangan.

Masfufah yang ummi jumpa di JJ masih seperti dia yang dulu. Ceria, tersenyum dan ramah menyuarakan keseronokannya berjumpa ummi setelah sekian lama tak berjumpa. Cuma yang berbeza kali ini dia dikelilinginya 3 orang anak termasuk seorang dalam dokongannya. Ummi terkejut kerana tak pernah dengar cerita dia berkahwin. Menurut Mas dia terkilan tak dapat kenalkan suaminya pada ummi kerana beliau telah meninggal dunia pada tahun lepas ketika anak yang didokongnya baru berumur 2 bulan kerana demam denggi berdarah. Innalillah. Sehingga kini ummi masih rasa terharu mengenang nasib Mas. Mungkin Allah beri ujian berat pada orang yang sekuat dan setabah Mas. Wallahuaklam.

Yang pastinya sudah bertambah lagi cucu ummi. Bersama Mas pada hari itu adiknya Nisrinah yang juga bekas pelajar ummi. Pun dikelilingi oleh 2 orang anak dan suaminya. Dari mereka ummi dengar cerita mengenai seorang lagi ahli keluarga mereka yang juga bekas pelajar ummi, Ahmad Muhaddah. Dah jadi lawyer rupanya dia. Dengar nya sudah mula merisik-risik. Bakal tunangannya pun bekas pelajar ummi di JAIM dulu.

Terasa ummi semakin tua kerana cucu-cucu sudah bertambah. Murid yang dulunya mengejar ummi untuk menanya soalan tambahan di dalam dan diluar kelas telah beranak pinak.

Banyak yang perlu ummi lakukan untuk memuhasabah diri.........

Buat anak-anak ummi, Allah timpakan ujian pada kita untuk mengetahui iman kita kepadanya. Bagi yang beriman ujian Allah dijadikan pedoman untuk meningkatkan lagi ketakwaan kepadaNya yang Maha Kuasa.

Buat Mas yang kini bekerja sebagai pegawai Bank di Ar Rajhe ..... moga tabah membesarkan cucu-cucu ummi tu.

Wassalam

No comments: