Senja itu amat meletihkan. Keletihan itu memaksa umi untuk segera ke perbaringan. Tersedar dari tidur yang lena umi dikejutkan dengan sms ringkas dari RBB menyatakan ada orang menyerahkan anaknya kepada kami untuk dijaga. Tanpa ada penjelasan lain. Begitulah RBB kadang-kadang sukar difahami tetapi telah umi terima kenyataan itu bahawa kali ini sms itu adalah arahan untuk umi terima dan laksanakan sebaik mungkin. Umi akur, tetapi sms itu tidak pula umi jawab.
So malam itu afiq jadi anak umi yang kesembilan secara tiba-tiba. Dengan berbekalkan beberapa helai pakaian dan sebuah plastik berisi jajan dan air minuman ringan jenama ribena Afiq dikerumuni oleh kami semua yang heran bagaimana seorang anak secomel afiq ditinggalkan oleh ibu kandungnya begitu sahaja.
Hampir sebulan Afiq berada bersama kami, kata RBB untuk sementara sahaja kerana katanya dia sedang menguruskan proses pencarian keluarga angkat untuk Afiq. Satu-satunya yang umi sehingga kini tak dapat jawapannya ialah bagaimana RBB boleh terima afiq. Dan soalan itu pun tak sampai hati untuk umi tanyakan. So Afiq jadi keluarga kami selama sebulan.
Suatu hari kami dikunjungi oleh sahabat RBB. Terpikat dengan kecomelan Afiq mereka menyatakan kesediaan untuk mengambil Afiq sebagai anak angkat kerana mereka hanya ada seorang anak sahaja yang sudah pun memasuki matrikulasi.
Tatkala Afiq diambil oleh keluarga angkatnya, Afiq melaung dan menangis ingin terus tinggal dengan kami. Ketika itu umi menyalahkan RBB kerana telah meletakkan umi disituasi itu, dimana umi terasa begitu kejam kerana melepaskan Afiq pergi. Umi masih ingat kami membelikannya sebungkus jajan dan sebotol air ribena seperti mana dia mula sampai kepada tangan umi dulu. Ibu angkat Afiq berjanji akan menjaga Afiq seperti anaknya sendiri.
Janji itu tidak lama kerana selang beberapa bulan RBB memaklumkan kepada umi bahawa ibu angkat Afiq akan memulangkan afiq kerana mungkin tidak tahan dengan kerenah Afiq yang istimewa itu.
So akhirnya kembalilah afiq semula kepangkuan ummi sehinggalah pada suatu malam ibu kandung afiq datang semula mengambil afiq bersama dengan suami barunya. Selepas dari itu umi tak pernah mendengar khabar berita mengenai afiq.
Tetapi hari ini tatkala umi singgah untuk bersarapan pagi di sebuah gerai makan di Bkt Katil umi temui semula Afiq sedang membantu neneknya berniaga di gerai tersebut. Pada t-shirt yang dipakainya umi dapat fahami bahawa afiq telah memasuki kelas untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Afiq kelihatan selesa disitu, begitu yakin mengemas dan mengangkat pinggan dan cawan yang telah digunakan oleh pengunjung di gerai tersebut. Wajahnya menunjukkan dia masih mengenali kami dan duduk menghadap kami yang makan di gerai tersebut.
Seketika umi rasa bersyukur kerana walaupun Afiq tidak dikelilingi kemewahan seperti dirumah ibu angkatnya dulu namun afiq dapat mempelajari ilmu kemahiran hidup yang amat diperlukan oleh kanak-kanak berkeperluan khas sepertinya. Sekurang-kurangnya umi tahu Afiq bahagia disitu bersama nenek, datuk dan ayah kandungnya walaupun telah ditinggalkan sekali lagi oleh ibu kandungnya. Yang penting Afiq boleh mengurus dirinya sendiri dan boleh berdikari suatu hari nanti. Umi sempat melihat Afiq membaca menu yang tertulis di dinding kedai.
Bagi umi kemewahan tidak semestinya membahagiakan, kemiskinan tidak selalu menghampakan.... Buat Afiq .... maafkan umi kerana tidak berdaya untuk menjaga Afiq sehingga dewasa. Hari ini Umi yakin ... Afiq telah menemui kehidupannya..
1 comment:
IMO dia macam amar.....
Post a Comment