Thursday, October 27, 2011

Antara dua persimpangan.

17 Oktober 2011:

Aku dimaklumkan bahawa kak Yani telah dimasukkan ke hospital. Walaupun kata rakan-rakan dia dimasukkan ke wad kerana gastrik namun aku pasti ia mesti sangat berkaitan dengan cancer paru-paru yang dihidapi nya sejak setahun yang lalu.

18 Oktober 2011:

Aku teringin sekali untuk bersegera menziarahi kak Yani namun panggilan mesyuarat di IPBA Lembah Pantai, Kuala Lumpur membataskan niat ku itu.

19 Oktober 2011:

Aku dan rakan-rakan sejabatan berpejalanan ke hospital Muar yang memakan masa selama hampir sejam daripada IPG untuk mengambil peluang waktu rehat kami dan waktu melawat di hospital tersebut untuk menziarahi kak Yani.

Kak Yani dan suami begitu ceria melayan kami sebagai tetamu. Dia sempat mengusik kami walau pun alat bantuan pernafasan sentiasa membantu nya untuk bernafas. Kata Abang Din (suami Kak Yani) alat itu sangat diperlukan. Tanpa alat itu kak Yani tak mampu berjalan jauh walaupun untuk ke bilik air. Melalui suaminya kami dimaklumkan bahawa sebelah paru-paru kak Yani telah 'collapsed' itu menyebabkan kadar Oksigen dalam tubuh kak Yani semakin berkurangan. Dalam keadaan lemah seperti itu pun Kak Yani masih lagi mampu bergurau dengan kami.

Simpati ku meluap-luap melihatkan tanda-tanda cucukan di belakang Kak Yani yang dilakukan untuk mengeluarkan air daripada paru-parunya. Kata kak Yani....hanya darah yang keluar daripada paru-parunya. Dia mengeluh kesakitan yang teramat. Itu sahaja bicara Kak Yani yang menggambarkan kesakitan yang di alaminya. Selain daripada itu Kak Yani adalah sahabat yang ku kenali...sangat bermotivasi, sangat cekal dan sangat tabah melalui apa jua rintangan.

Di sebalik gelak tawa dan usikan abang Din aku tahu tersembunyi kesedihan seorang suami yang hanya menanti perginya seorang isteri. Suatu penantian yang sangat menyiksakan.



"Kak Yani tampak dalam kesakitan walaupun dia tidak menunjukkannya. Dia memang sakit. Tetapi ciri-ciri seorang ahli kaunseling ada pada dirinya dan sedang dipraktiskannya. Kak Yani tersenyum dalam tangisan di hati" Hanya ini lah ungkapan yang dapat ku katakan kepada rakan se jabatan lain yang bertanya khabar tentang kak Yani.

Kepada semua rakan-rakan yang bertanya sejak hari itu ku katakan. 'pergilah ziarah Kak Yani. Dia semakin uzur. Pergilah jika ada masa. Dia pasti gembira dengan kehadiran sahabat-sahabat'

21 Oktober 2011

Kami rakan-rakan sejabatan Kak Yani mengadakan bacaan yasin dan tahlil untuk Kak Yani. Bersama-sama dengan Tn Hj Omar Abdul selaku pemangku Ketua Jabatan kami bacakan yaasin dengan diketuai oleh Badrul rakan seofis.

Aku merasakan satu kepuasan dapat menyedekahkan bacaan Yasin dan tahlil itu walaupun aku dalam keuzuran. Hanya dapat membaca dalam hati sahaja. Alangkah baiknya jika aku juga dapat melafazkannya.

22 Oktober 2011

Hari ini cuti am bagi semua pejawat awam. Aku teringin sekali menziarahi Kak Yani di hospital namun suami mempunyai banyak agenda wajib yang perlu dilaksanakannya dan aku juga menumpang agenda ku sendiri menyelesaikan keperluan untuk majlis kak Long di Ramuan Cina yang bakal di adakan tak lama lagi.

Misi untuk menyegerakan urusan persiapan majlis perkahwinan anak saudara pertama yang akan bernikah selamat di laksanakan.

23 Oktober 2011

Pagi-pagi lagi aku mengingatkan suami misi ku untuk menziarahi Kak Yani. Seakan dapat merasakan saat yang semakin pendek buat aku bersama dia. Aku akhirnya ke hospital Muar bersama si along Ammar kerana kesibukan suami. Sebenarnya aku amat berkecil hati dengan suami yang tidak dapat meluangkan masa bersama ku menziarahi Kak Yani. Tetapi keinginan untuk meluangkan masa bersama Kak Yani menyebabkan aku melanggari prinsip kebiasaanku untuk sentiasa bersama suami walau dalam apa keadaan pun jugak.

1.00 tengahari

Aku sampai di bilik 16 yang berada di wad 18 blok Cengal Hospital Muar sebaik waktu melawat. Daripada cermin kaca bilik berkenaan aku sudah dapat melihat kak Yani yang sedang duduk sambil bernafas melalui alat pernafasan yang terserkup di sebahagian mukanya. Aku cuba untuk mencekalkan hati dan tidak menumpahkan air mata apabila berhadapan dengan kak Yani namun itulah yang berlaku. Air mata ku tak dapat ku tahan-tahan. Bagi mengelakkan esakan tangisan ku di dengari kak Yani aku melarikan diri sementara di luar wad kak Yani. Aku menangis semau-maunya di luar wad Kak Yani.

Seusai mengesat air mata aku masuk semula ke dalam bilik kak Yani. Aku hanya mampu memegang tangan Kak Yani. Aku hanya mampu memandang wajahnya yang tetap tabah walaupun dia terpaksa menarik nafas yang cukup kuat untuk dapat bertahan sebagai seorang yang bernyawa.

Kak Yani sedang bergelut untuk mendapatkan bekalan oksigen yang boleh diperolehi oleh insan lain dengan sekadar menarik nafas dengan mudahnya. Kak Yani telah dinafikan bekalan oksigen dengan kerosakan kekal pada paru-parunya. Kak Yani sedang menanti saat bila mana oksigen tidak dapat dibekalkan lagi kepada tubuhnya yang sejak akhir-akhir ini semakin kurus.

Aku hanya mampu memicit-micit jari kak Yani sambil membacakan doa dalam hati agar diringankan beban kak Yani. Ingin sekali aku membacakan ayat-ayat quran ketika dia melalui saat-saat getir itu tapi tak mampu kerana keuzuran ku di saat itu. Akhirnya Kak Yani kutinggalkan di situ selepas ku cium tangan dan dahinya. Aku bertekad untuk datang menziarahinya lagi selagi hayatnya ada di dunia ini.

6.30 pm

Petang itu aku ke hospital Muar lagi. kali ini aku membawa dua anak gadisku yang telah bersedia dengan surah Yasin untuk ku sedekahkan kepada Kak Yani. Kali ini aku lebih bersedia. Aku datang dengan rasa lebih tabah. Tiada air mata lagi buat Kak Yani. Kesedihan ku telah berganti dengan rasa tanggung jawab. Aku akan lakukan apa yang perlu dilakukan sebagai insan muslim yang lain bagi menghadapi saat-saat akhir seperti itu.

Oleh kerana aku sampai setelah azan maghrib di laungkan dari masjid-masjid berhampiran aku bersegera meminta along (Nurul anak kak Yani) menguruskan wuduk kak Yani. Aku maklumkan pada along bahawa ibunya mesti diuruskan solatnya walaupun sekadar syarat sahaja. Aku pinta kak yani untuk berniat untuk wuduk. Aku juga minta dia berniat untuk solat maghrib. Kak yani menganggukkan kepadanya tanda faham dan jelas niat ku itu. Ku pegang belakangnya di saat dia kelihatan menunjukkan tanda sedang bersolat. Sebaik kak yani selesai bersolat dia meminta untuk merebahkan sedikit posisinya. Aku meletakkan bantal di belakang kak Yani bagi menjadikan kedudukannya lebih selesa.

Doa ku lafazkan dengan kuat agar di dengar oleh kak Yani. ku bacakan doa-doa dan bacaan istighfar dengan kuat dengan harapan agar diikuti olehnya. Ku lafazkan syahadah agar dia dapat mengikutinya. Itulah yang ku lakukan sebelum aku terpaksa meninggalkan kak Yani kerana waktu melawat telah tamat. Kutinggalkan Kak Yani tanpa menoleh lagi kerana aku puas telah dapat menjalankan tanggungjawab aku sebagai saudara se Islamnya. Pengawal yang bertugas di pintu masuk blok cengal telah meletakkan papan tanda 'bukan waktu melawat' sebaik aku meninggalkan bangunan itu. Jam telah menunjukkan pukul 7.30 pm.

Aku berazam akan menziarahi kak Yani keesokan hari semasa waktu melawat kerana esok 24 Oktober adalah hari cuti bagi kami di IPG.

9.40 pm

Aku dikejutkan oleh panggilan daripada sahabat se IPG bahawa kak Yani telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Rupa-rupanya ada pesanan ringkas daripada abang din suami kak Yani pada pukul 8.41 pm yang memaklumkan bahawa kak Yani sudah tiada lagi. Namun pesanan itu gagal sampai kepada aku kerana peti simpanan pesanan talipon bimbit ku telah penuh.

10.15 pm

Aku sampai di perkarangan hospital Muar. Abang Din memaklumkan bahawa jenazah telah di bawa ke rumah mayat. Daripada rumah mayat kami mengikut van jenazah sehinggalah sampai ke Kampung Seri Jaya, Tangkak di kediaman kak Yani.

Aku berada di rumah kak Yani sebaik jenazah di bawa naik ke ruang tamu rumah itu. Suami dan anak-anakku membaca kan yasin sebelum kami beredar pulang lewat tengah malam itu. Aku mengusap dahi arwah. Peluh di dahinya masih basah ketika aku mencium dahinya. Tangan ku terasa peluh di dahinya sewaktu aku menyelak rambut kak Yani yang menutupi sebahagian dahi nya.

"Maafkan saya kak" itu sahaja yang dapat ku lafazkan pada dia sewaktu aku mencium dahinya. Ayat yang tak pernah dapat ku ucapkan semasa hayatnya. Ayat yang tidak dapat ku sampaikan pada nya walaupun itulah yang ingin sekali kuucapkan pada nya semasa hayatnya masih ada. Aku tahu kak Yani sering kecil hati dengan ku tanpa ku sedari.

Namun aku cuba melakukan apa jua yang mampu ku lakukan untuk menunjukkan pada dia bahawa dia lah saudara ku, saudara seIslam ku kerana begitu banyak masa yang kami luangkan bersama-sama. Hakikatnya dia antara insan yang paling rapat dengan ku sewaktu di IPG. Siapa lagi lah yang akan terkucil hati nya dengan kita kalau bukan dengan orang yang sering bersama dengan kita. Hakikat yang telah ku metrai dalam hati dengan menerima seadanya insan-insan yang bekerja bersama-sama dengan ku di mana pun jua.

24 Oktober 2011

Aku bersama rakan-rakan IPG hadir ke majlis pengurusan jenazah kak Yani. Begitu ramai sahabat handai hadir untuk memberikan penghormatan terakhir buat kak Yani. Aku gembira walau pun tidak dapat berada dekat dengan jenazah Kak Yani kerana aku yakin arwah pasti gembira melihat ramainya insan yang bersama memberikan penghormatan terakhir kepada nya.

Sebelum wajahnya di tutup dengan kain kafan, aku mengambil peluang untuk mengucup dahinya buat kali terakhir. Sekali lagi kuucapkan 'maafkan saya kak' sewaktu dahinya yang sejuk itu kukucup.

Maafkan saya kak seandai sering membuat akak kecil hati. Sesungguhnya aku tidak pernah sengaja melukakan hatimu kerana bagiku engkaulah sahabatku di dunia dan di akhirat. Begitu ramai insan mendoakan perjalanan mu di negeri yang kekal abadi. Bagi adik mu ini entah di mana dan siapalah yang akan mengiringi perjalanan terakhir ku itu nanti. Semoga rohmu di masukkan ke dalam syurga yang kekal abadi.

2 comments:

sufinurkasih said...

Assalamualaiku...

syahdu je nisa baca kisah ckgu ni. mudah2an roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan hamba2-Nya yang dijanjikan syurga abadi. amiin...

cahaya kemasyhuran said...

sedihnye cikgu..moga Allah melapangkan kubur cikgu yani dan menerima segala amalannya.i'A.kami takkan lupakan cikgu.=((((